Sabtu, 17 April 2010

Kerja Mudah Lawan Kamalanathan – Khalid

MALAYSIA TODAY


khalid ibrahim Oleh staf FMT


KUALA KUBU BARU: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata percaturan Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan calon P. Kamalanathan, memberi peluang cerah kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk memenangi pilihan raya kecil di Hulu Selangor.

Beliau menyifatkan Kamalanathan sebagai calon yang lemah berbanding dengan Datuk G. Palanivel yang merupakan pilihan utama MIC sebelum ini.

Menurut beliau dengan pemilihan Ketua Penerangan MIC itu, peluang Pakatan Rakyat (PR) amat cerah untuk terus memenangi hati pengundi Hulu Selangor.

"Peluang kita adalah lebih baik sekarang, namun kita masih perlu bekerja keras untuk menyakinkan pengundi Hulu Selangor bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PR adalah sebuah parti yang layak mewakili mereka di parlimen," kata Khalid yang juga merupakan pengarah kempen pilihan raya berkenaan.

Dalam pada itu, PKR turut meletakkan wakil-wakil terpilih yang bertanggungjawab "mengawal selia" kawasan di bawah parlimen Hulu Selangor termasuklah Kuala Kubu Baru, Hulu Bernam dan Batang Kali.

Menurut Naib Presiden PKR R Sivarasa, PKR memberi tanggungjawab kepada ahli parlimen Kapar S Manikavasagam di Kuala Kubu Baru manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati M Muthiah dan ADUN Sri Andalas Dr Xavier Jayakumar masing-masing di Hulu Bernam dan Batang Kali.

Sivarasa berkata PKR bertindak sedemikian kerana sedar bahawa parti tersebut sebelum ini menang dengan majoriti yang tipis.

Strategi PR adalah dengan menjalankan kempen rumah ke rumah bagi memperkenalkan calon PKR iaitu Datuk Zaid Ibrahim.

Tiada ulasan: