Isnin, 5 April 2010

Kerajaan Selangor Sedia Peruntukan PBT, MB Ziarah Rakyat Miskin

TV SELANGOR

KUALA SELANGOR : Setiap daerah di Selangor menerima peruntukan daripada kerajaan Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjayakan pelbagai program kemasyarakatan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin peruntukan itu dapat membantu merapatkan lagi hubungan kekeluargaan, selain mendekati golongan belia sekali gus membantu mengurangkan gejala sosial.

Pada program sukan rakyat dan amah mesra belia bersama penduduk di Taman Seri Indah Bistari Jaya di sini, hari ini, Khalid turut menyampaikan cek berjumlah RM5,180 kepada PBT di Zon 3B itu untuk memudahkan mereka melakukan aktiviti.

“Setiap kawasan majlis ada peruntukan. Untuk Bistari Jaya, peruntukan untuk ketua kampung ialah RM10,000 satu tahun dan peruntukan untuk belia RM5,000 satu tahun. Peruntukan itu diberi oleh negeri,” katanya.

Khalid juga mahu memastikan golongan belia sentiasa dilibatkan dalam program kemasyarakatan supaya mereka tidak berasa diabai , kemudian terjebak ke kancah tidak bermoral

“Itulah sebabnya, kita dari awal-awal lagi meminta belia-belia ini diserapkan dalam program masyarakat,” katanya.

Pengerusi PBT Zon 3B, Mohd Nadzril Beedin pula berkata pihaknya akan memanfaatkan peruntukan itu sebaik mungkin dan perancangan terdekat telahpun dibuat.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, Amran Abdullah berasa gembira dengan program seperti ini ditambah pula dengan kehadiran pemimpin kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Khalid sempat menziarahi penduduk yang kesusahan di perumahan Taman Seri Indah dengan mengunjungi rumah seorang bekas pengawal CIMB Bank yang mengalami penyakit angin ahmah.

Kerajaan negeri membantu Mazli Mohd Said melalui sumbangan RM2,000 setahun untuk menampung perbelanjaan perubatan, apatah lagi turut menanggung tiga anak dan isteri yang tidak bekerja.

Selain itu, Khalid turut meluangkan masa untuk menjenguk kehidupan seorang warga emas yang menghidap penyakit tua dan tidak lupa untuk menghulurkan sumbangan wang ringgit.

Tiada ulasan: