Rabu, 28 April 2010

Kerajaan akan kaji naikkan elaun guru pedalaman

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengkaji keperluan menaikkan elaun tambahan guru-guru yang ditempatkan di kawasan pedalaman terutama di kawasan yang dikategorikan sebagai pedalaman 2 (P2) dan pedalaman 3 (P3), kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi.

Beliau berkata, ini adalah sebahagian daripada langkah yang ditimbangkan kerajaan bagi memastikan guru-guru di kawasan itu yang kebanyakannya terletak di pedalaman Sabah dan Sarawak, mendapat kemudahan yang sewajarnya.

“Memang saya akui guru-guru ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan, sebagai contoh di Kinandut apabila mereka yang keluar membeli barang di Pensiangan kadang-kadang tersadai sehingga dua hari apabila pemandu lupa mengambil mereka dan ini menyebabkan mereka tidak dapat mengajar manakala kos mereka pergi balik naik bot pula lebih kurang RM500.

“Sebab itu guru-guru di kawasan P3 di beri elaun tambahan RM1,500, P2 RM1,000 dan P1 RM500. Oleh itu kerajaan sedang berusaha untuk mengkaji semula sama ada elaun ini boleh dinaikkan atau pun tidak,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Ahamat @ Ahamad Yusop yang mahu tahu langkah-langkah yang akan diambil oleh kementerian bagi memastikan guru-guru di pedalaman Sabah dan Sarawak mendapat kemudahan sewajarnya.

Puad berkata, kerajaan juga sedang berusaha menaik taraf kuarters guru di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak bagi memastikan keselamatan. - Bernama

Tiada ulasan: