Jumaat, 9 April 2010

Keputusan semakan kes Asri 28 April

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, menetapkan 28 April ini, untuk memberikan keputusan terhadap semakan pendakwaan kes melibatkan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

:Hakim Syarie: Mohammad Adib Husain menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan kedua pihak dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan Pendakwa Syarie.

Permohonan difailkan bertitik tolak keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini, Wan Mahyuddin Wan Mohammad, 18 November lalu, menolak kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Ketua Pendakwa Syarie Selangor (KPS) Abd Shukor Abdul Halim, semalam, menghujahkan terdapat dua cara untuk memindahkan kes iaitu menerusi Hakim ataupun KPS.

Menurutnya, perkara itu terkandung dalam Seksyen 101 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 1995 dan hakim hendaklah menggantungkan prosiding dan memindahkan kes selepas permohonan dibuat.

“Kami menekankan bahawa hendaklah bersifat mandatori dan wajib,” katanya.

Beliau juga meluahkan rasa kesal terhadap dakwaan peguam syarie Dr Asri bahawa wujud ‘tangan ghaib’ dalam perjalanan kes dan kesungguhan memindahkan kes menimbulkan spekulasi serta menjejaskan imej mahkamah.

“Saya tekankan bahawa jawatan saya adalah amanah. Tidak adil untuk menuduh saya mempunyai motif,” katanya.

Menjawab hujahan itu, Peguam Syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman berkata, ‘tangan ghaib’ merujuk kepada kuasa di peringkat atasan KPS.

“Kredibiliti KPS tidak dipertikaikan,” katanya.

Beliau merujuk kenyataan dua pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di portal berita Internet mengenai perjalanan kes, sedangkan semasa itu Dr Asri belum didakwa.

“Itu kenyataan Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik serta Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jais. Apa kaitan pegawai Jais untuk memberi komen bagi pihak KPS,” katanya.

Kamar Ainiah juga menghujahkan KPS berbidang kuasa membuat permohonan memindahkan kes, tetapi keputusan terletak kepada hakim.

“Adakah fungsi hakim hanyalah rubber stamp yang mengendos apa saja permohonan KPS,” katanya.

Kamar Ainiah juga menyifatkan KPS tersilap forum dalam memfailkan semakan kehakiman kerana ia sepatutnya difailkan sebagai rayuan.

Turut dihujahkan pindahan kes akan memperjudikan Dr Asri kerana hilang satu peringkat rayuan sekiranya disabitkan, iaitu di Mahkamah Rayuan.

Sehubungan itu, Kamar Ainiah memohon semakan ditolak dan perbicaraan berjalan segera setelah dilengah-lengahkan dengan permohonan itu.

Abd Shukor menjawab, Dr Asri masih mempunyai dua peluang untuk merayu iaitu di hadapan Ketua Hakim Syarie Negeri dan Mahkamah Rayuan.

Tiada ulasan: