Khamis, 1 April 2010

Kasut Berusia Lebih 80 Tahun Tarikan Pesta Kasut Antarabangsa Malaysia




Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen melihat beberapa
kasut buatan tempatan sambil ditemani Datuk Dr Jimmy Choo
selepas sidang akhbar Pesta Kasut Antarabangsa Malaysia di Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 9 Mac lalu. Hadir sama, Presiden
Persatuan Pengilang-pengilang Kasut Malaysia (MFMA) Tony Ting
(kiri) dan Penasihat Kumpulan Produk Porosus, Datuk Khoo Thaw
Choon (kanan). - Foto THE STAR oleh BRIAN MOH

KUALA LUMPUR: Sepasang kasut yang pernah digunakan masyarakat Baba Nyonya lebih 80 tahun lalu adalah antara keunikan Pesta Kasut Antarabangsa Malaysia yang akan berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini mulai esok.

Presiden Persatuan Pengilang-pengilang Kasut Malaysia (MFMA) Tony Ting berkata keunikan kasut berusia lebih 80 tahun itu adalah segi reka bentuk dan bahan digunakan.

"Kasut itu luar biasa kerana ia fleksibel, iaitu tidak khusus kepada kaki kiri atau kaki kanan seperti kasut yang lain.

"Tapaknya pula diperbuat daripada seratus peratus kulit lembu yang membenarkan lebih banyak aliran udara masuk, yang memberi keselesaan kepada pemakainya," katanya kepada Bernama.

Turut dipamerkan pada pesta kasut yang diadakan buat julung kalinya itu ialah beberapa koleksi kasut zaman 1920 hingga 1960-an seperti terompah, selipar dan kasut tumit tinggi yang ditutup penuh.

Menariknya, koleksi kasut tersebut yang diperbuat seratus peratus buatan tangan itu masih dalam keadaan baik dan tidak rosak biarpun sudah lama usianya, katanya.



Gambar hiasan: Tony Ting menunjukkan sepasang kasut.

"Orang ramai juga akan dibawa menerokai pengalaman penciptaan kasut yang berusia 100 tahun di negara ini, dengan mempamerkan bahan dan peralatan yang digunakan serta membawa mereka melihat bagaimana proses kasut itu dilakukan," katanya.

Selain koleksi kasut zaman dahulu kala, misi penting pesta itu adalah mempromosikan dan memartabatkan kasut buatan pereka tempatan di mata pengunjung serta menjadikan ia sebagai satu usaha menarik lebih ramai pelancong bercuti di sini.

Pesta yang julung kali diadakan itu dianjurkan bersama oleh MFMA serta Kementerian Pelancongan dan akan dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor pada 2 April.

Ting berkata pesta itu akan turut mempamerkan kira-kira 50,000 koleksi kasut daripada jenama terkenal tempatan seperti Vincci, Bonia, Sembonia, Carlo Rino, Jukebox, Asadi, Dr. Cardin, Nose, Lewre, Crocodile, John Bird dan Larrie.

Tiada ulasan: