Selasa, 13 April 2010

Kampus UiTM di Serendah jika BN berjaya rampas balik Selangor

UTUSAN ONLINE

Ahmad Maslan bersama Zainal Sakom beramah mesra dengan sebahagian penerima biasiswa YBK di Serendah, Selangor, semalam.


SERENDAH - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji akan membina Universiti Teknologi Mara (UiTM) Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) di kawasan seluas 200 hektar milik yayasan sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula Selangor.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan memberitahu, janji ini disampaikan oleh Perdana Menteri baru-baru ini ketika mengadakan pertemuan dengan anggota BN yang terlibat pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor.

"Perkara ini ditegaskan semula bagi memenuhi janji kepada YBK bahawa kampus cawangan UiTM YBK akan dibina di tanah milik yayasan itu di sini selaras dengan perancangan asal.

"Ini bermakna YBK akan mempunyai dua kampus UiTM, iaitu satu di Jasin, Melaka dan sekiranya BN memenangi semula Selangor, satu lagi kampus cawangan UiTM akan dibina untuk YBK di Serendah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan biasiswa YBK 2010 untuk pelajar-pelajar miskin sekolah menengah dan sekolah rendah di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom.

Kampus Cawangan UiTM YBK yang sepatutnya dibina di tanah seluas 200 hektar milik yayasan itu di sini tidak dapat dilaksanakan berikutan tidak mendapat kelulusan kerajaan Selangor.

Masalah kelulusan tapak itu bermula apabila YBK enggan mengikut syarat ditetapkan oleh kerajaan negeri iaitu mesti melantik Menteri Besar dan seorang Exco sebagai anggota dalam lembaga yayasan tersebut.

Projek bernilai RM300 juta itu dirancang untuk dibangunkan dalam tempoh tiga tahun dan berpotensi menjana kerja-kerja penyelenggaraan pembangunan yang dianggarkan berjumlah RM1 bilion dalam tempoh 20 tahun.

Berikutan itu kerajaan memutuskan untuk membina Kampus Cawangan UiTM YBK di Jasin, Melaka bagi membolehkan yayasan itu mempunyai sumber pendapatan tetap bagi mengendalikan semua aktiviti.

Ahmad sehubungan itu meminta para pengundi di Hulu Selangor memastikan kemenangan calon BN pada pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 25 April ini.

"Kemenangan di Hulu Selangor merupakan permulaan usaha untuk merampas kembali Selangor daripada pembangkang.

"Saya percaya ini dapat dilakukan kalau setiap jentera pilihan raya parti dapat memberi penjelasan dengan baik kepada para pengundi," katanya.

Sementara itu, sebanyak 38 pelajar miskin menerima biasiswa YBK di mana 16 pelajar sekolah menengah menerima bantuan RM1,000 setahun dan 22 pelajar sekolah rendah menerima RM500 setahun.

Sepanjang YBK beroperasi, 2,173 pelajar telah menerima biasiswa yayasan itu manakala 1,600 pelajar miskin menerima bantuan RM20,000 selama lima tahun iaitu dari tingkatan satu hingga tingkatan lima apabila tinggal di Asrama Kaseh YBK di Serendah.

Sepanjang 20 tahun asrama itu beroperasi ia telah berjaya membantu pelajar-pelajar miskin mencapai cita-cita mereka untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi dan pada masa ini ada pelajar miskin tersebut telah menjadi pekerja profesional hasil bantuan YBK.

Tiada ulasan: