Khamis, 15 April 2010

Kamalanathan Sah Calon BN Parlimen Hulu Selangor

RAWANG: Teka-teki siapa individu yang mewakili Barisan Nasional (BN)pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor terjawab apabila KetuaPenerangan MIC, P Kamalanathan diumumkan sebagai calon parti itu.

Pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dibuat di bilik operasi BN di sini, sebentar tadi.

"Ini adalah tanggungjawab yang besar yang perlu saya galas bagi pastikan BN menang dalam pilihan raya ini, bantulah saya untuk kemenangan ini.

"Saya menerima pencalonan ini, saya berjanji akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan milik BN," kata Kamalanathan dalam ucapan ringkasnya selepas diumumkan sebagai calon.

Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor akan diadakan pada 25 April manakala penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini.

Pemilihan Kamalanathan mengenepikan dua lagi nama pemimpin MIC yang disebut-sebut sebagai calon yang layak iaitu Timbalan Presiden MIC,Datuk G. Palanivel dan Timbalan Ketua Pemuda MIC Pusat, V. Mugilan.

Kamalanatahan merupakan anak tempatan yang berasal dari kawasan ini.

Beliau bakal berhadapan dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang berasal dari Kota Bharu.

Pilihan raya kecil kawasan itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu kerana barah otak.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham yang mewakili PKR merampas kerusi berkenaan yang dikuasai oleh BN sejak empat penggal lalu selepas menewaskan Palanivel dengan majoriti 198 undi.

Kawasan Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pemilih berdaftar terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Daripada jumlah itu, 34,020 orang atau 52.7 peratus adalah pengundi Melayu, manakala pengundi Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16,964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratuspengundi.

Kemenangan pembangkang di kawasan berkenaan sebelum ini bukanlah kemenangan mutlak kerana tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hulu Selangor dimenangi BN iaitu Hulu Bernam (majoriti 3,459 undi - Umno), Batang Kali (2,179 undi - Umno) dan Kuala Kubu Bahru (448 undi - MCA)

Tiada ulasan: