Isnin, 12 April 2010

Jumlah pemantau harga, pegawai penguatkuasa ditambah di Hulu Selangor

BERNAMA

PUTRAJAYA — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menambah jumlah pemantau harga dan pegawai penguatkuasa di Hulu Selangor untuk memastikan peniaga di kawasan itu tidak menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya berikutan pilihan raya kecil di situ.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau juga akan turun padang bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga makanan dan minuman apabila kempen pilihan raya bermula.

“Pemantau harga dari daerah lain di Selangor akan dihantar ke Hulu Selangor untuk memantau keadaan di situ.

“Bilik gerakan kita di Kuala Kubu Bharu juga akan dibuka sepanjang masa. Kita tidak mahu ada peniaga yang mengambil kesempatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kemungkinan berlaku kenaikan harga makanan dan minuman di Hulu Selangor berikutan pilihan raya kecil akan diadakan di kawasan berkenaan pada 25 April ini.

Katanya orang ramai boleh mengemukakan aduan jika mendapati ada peniaga yang menaikkan harga barangan dengan menghubungi talian bebas tol 1800-886-800 atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 32255.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar untuk mengatasi masalah kenaikan harga daging babi yang dilaporkan membebankan pengguna.

Katanya punca kenaikan harga daging babi itu perlu dikenalpasti sama ada secara disengajakan atau disebabkan oleh faktor lain.

Tiada ulasan: