Selasa, 13 April 2010

JIM sokong, Abim tentang

Abdul Rahim Sabri



Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) hari ini meluahkan sokongan terhadap keputusan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Antara Agama untuk mempromosi keharmonian dan persefahaman antara penganut pelbagai agama di negara ini.

"Jawatankuasa ini memberi input kepada kerajaan terhadap pandangan NGO Islam dan agama lain demi kepentingan masyarakat terutama berhubung isu-isu agama.

"Ia sebagai platform yang baik untuk membincangkan isu-isu Islam dan (masalah) yang berkaitan agama," kata presidennya Zaid Kamaruddin.

Zaid berkata fungsi jawatankuasa tersebut tidak sama dengan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) sebelum ini, yang mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak khususnya, NGO Islam, termasuk JIM.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, beliau berkata jawatankuasa tersebut ditubuhkan untuk menyelesaikan perselisihan atau perkara yang meresahkan penganut pelbagai agama di negara ini.

Jawatankuasa yang ditubuhkan Februari lalu akan diketuai oleh bekas ahli parlimen Kota Bharu, Datuk Ilani Isahak .

Jawatankuasa Perundingan Antara Agama ini juga akan dianggotai oleh perwakilan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Majlis Perundingan Budha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao, ahli-ahli akademik dan NGO tertentu.

Menurut Zaid, JIM akan diwakili melalui keanggotaaannya dalam Allied Coordinating Committee for Islamic NGOs (ACCIN).

Zaid berkata skop jawatankuasa khas ini juga tidak akan melangkaui kuasa agama Islam seperti mana yang diperuntukan oleh perlembagaan persekutuan dan ia tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam fatwa yang dikeluarkan oleh para mufti.

Ditanya mengenai penglibatan Koh dan Ilani yang dilihat sebagai "orang politik" dalam jawatankuasa itu, Zaid berkata rakyat perlu memberi peluang bagi kedua-dua mereka membuktikan bahawa mereka mampu melaksanakan tugas berkenaan.

"Koh diberi peranan oleh kerajaan, dan Ilani bukan mewakili sesiapa, tetapi dilantik oleh kerajaan sebagai penyelaras khas mempromosi hubungan NGO antara agama," katanya.

Sementara itu, sebuah lagi NGO Islam, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memberi reaksi yang berbeza dengan JIM.

Timbalan presidennya, Amidi Abdul Manan menggesa kerajaan memberi penjelasan secara terperinci berhubung matlamat penubuhan jawatankusa khas yang dibentuk oleh kabinet pada Februari lalu.

"Setakat ini belum ada penjelasan atau taklimat kepada NGO secara terperinci. Kami mendesak kerajaan memberi taklimat secepat mungkin sebelum ia dilaksanakan.

"Kalau dulu dicadangkan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang agak mengguris perasaan orang Islam, kita tidak mahu luka lama berdarah kembali," kata Amidi.

Beliau meminta kerajaan memberi penjelasan kepada semua NGO yang terbabit selewat-lewatnya minggu hadapan.

Sehubungan itu, amidi mahu pihak berkuasa memberikan butiran terperinci berhubung penubuhan jawatankuasa itu yang "tidak jelas" dan dikatakan "berbeza dengan IFC".

"Apa yang berbeza (dengan IFC) pun kita tidak tahu," katanya yang juga seorang guru.

Mengulas mengenai penglibatan Koh dan pengerusi jawatankuasa itu Datuk Ilani Isahak dalam jawatankuasa tersebut, Amidi berkata mereka adalah orang politik.

"Kenapa tidak masukkan ulama-ulama dihormati. Di mana letaknya mufti-mufti," kata Amidi.

Tambahnya, setakat ini, Abim tidak menerima sebarang pelawaan untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.

Amidi berkata, pihaknya memerlukan penjelasan lanjut termasuk perlantikan Koh dan Ilani dalam jawatankuasa tersebut sebelum pihaknya membuat apa-apa keputusan.

Tiada ulasan: