Khamis, 8 April 2010

Jenayah Di Johor : Indahnya Khabar Dari Rupa

Oleh IZMAS

KADAR jenayah di Johor digembar gemburkan sudah berkurangan, tapi realitinya tidaklah seperti yang digambarkan. Hakikatnya kebimbangan dan ketakutan warga Johor terhadap jenayah yang berlaku khususnya di Johor Bahru masih amat membimbangkan.

Baru-baru ini rakyat dikejutkan dengan insiden pecah rumah di sebuah taman perumahan di Skudai di mana terjadi insiden menyayat hati apabila seorang isteri muda Melayu telah dirogol beramai-ramai.

Mangsa kejadian keji dan trajis itu telah ‘dikerjakan’ oleh antara 7 hingga 10 orang samseng tempatan bukan Melayu dan suaminya yang berada dalam rumah itu amat sedih dan tidak boleh menerima hakikat kejadian buruk itu boleh berlaku dalam kawasan perumahan sibuk yang diwar-warkan begitu selamat.

Ketua Polis Negeri Johor sendiri, Datuk Mohd Mokhtar yang terkejut dengan insiden kejam itu turun ke padang, datang sendiri melawat tempat kejadian dan berjanji dengan keluarga mangsa akan memburu penjenayah secepat mungkin. Akibat kejadian itu ramai penduduk di taman perumahan itu secara langsung menyalahkan pihak Polis yang dikatakan kurang menjalankan rondaan kerap walaupun sudah diberi teguran dan amaran. Penduduk tempatan yang merasa simpati, kesal dan tidak puashati bagaimana insiden itu mudah berlaku, akhirnya mengadu masalah mereka kepada Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Nusajaya, Gelang Patah, Haji Dzulkefly Hj Ahmad juga YDP PAS Gelang Patah dan Timbalan Pesuruh Jaya 2 Negeri Johor.

Penulis yang tinggal tidak jauh dari taman tersebut diberitahu, Haji Dzul bersama beberapa penggerak PAR yang aktif serta penduduk pelbagai kaum yang bersimpati dan kecewa telah berjaya memunggut lebih kurang 5000 tandatangan dari penduduk sekitar Skudai dan taman-taman berhampiran dan dikumpulkan dalam satu memorandum yang sudah diserahkan kepada pejabat Menteri Besar. Memorandum itu dinamakan Memorandum Rakyat yang antara lain mendesak Polis Negeri Johor bertindak lebih agresif dan cepat dalam menangani masalah jenayah terutama di daerah Johor Bahru (JB) yang amat menakutkan.

Walapun dilapurkan purata indeks jenayah menurun di tahun 2008 - 2009 dan banyak kes kekerasan berjaya diselesaikan, namun JB masih mencatatkan nombor ketiga tertinggi selepas KL dan 3 Balai Polisnya iaitu Balai Central, Tampoi dan Taman Ungku Tun Aminah mencatat kadar jenayah paling tertinggi.

Memorendam itu menyalahkah beberapa faktor yang menyumbang kepada mudahnya berlaku kejadian jenayah di JB. Faktor pertama, wujudnya projek pembangunan raksasa Iskandar Malaysia yang kononnya menjanjikan ‘lubuk rezeki’ kepada warga luar Johor datang beramai-ramai di daerah itu mencari kerja yang dikatakan begitu banyak. Hakikatnya, pekerjaan di sektor pembinaan sudah dimonopli warga Indonersia, India, Bangladesh, Nepal, Vietnam dan Pakistan.

Warga tempatan dari seluruh negara yang berhijrah dan mengharap kerja menjadi hampa kerana peluang kerja sudah dipenuhi warga asing sementara kerja yang ditawarkan pula secara kontrek atau bermusim dengan pendapatan yang tidak menentu. Pendapatan mereka yang tidak menentu, kecil dan kesempitan hidup di bandar yang mencabar serta latarbelakang pendidikan yang rendah antara pendorong mereka terlibat dengan jenayah apabila terdesak.

Faktor kedua berkaitan lambakan pekerja asing samada sah atau haram (PATI) yang menyumbang peningkatan kadar jenayah di JB. Kadar jenayah yang tinggi sama banyaknya dengan jumlah pendatang asing di Johor. Dalam situasi ekonomi yang tidak stabil di mana banyak pekerja kilang dibuang, mereka ini tidak pulang ke tanah air mereka, tetapi tetap tinggal di bandaraya dan taman perumahan menjalankan kerja ‘part time’ - terutama warga Indonesia - sebagai penjenayah bagi meneruskan hidup. Hal ini sudah membimbangkan warga tempatan yang sentiasa dalam ketakutan kerana rumah mereka kerap dipecahmasuk dan hartabenda mereka sentiasa terancam.

Haji Dzul mencadangkan kerajaan harus lebih bertanggungjawab dalam menjalankan perancangan pembangunan. Kesan pembangunan yang tidak terancang sudah menimbulkan kesan sampingan serius seperti peningkatan jenayah, soal keselamatan dan pencemaran alam sekitar. Kerajaan seharusnya meningkatkan penguatkuasaan (enforcement) di semua peringkat agensinya termasuk amalan rasuah di kalangan pegawai yang sudah menyumbang besar kepada ketidakcekapan agensi kerajaan. Contohnya, lambakan pekerja asing berterusan menunjukkan kesan ketara kepada kelemahan agensi kerajaan mengurus dan mengawal aspek keselamatan umum serta penguatkuasaan kerja. Dalam memorandumnya, Haji Dzul juga mencadangkan beberapa langkah positif yang perlu diambil PDRM dan kerajaan negeri Johor dalam menanangani jenayah di Johor secara holistik. Antaranya melaksanakan kempen keselamatan awam secara berterusan dan mengalakkan rondaan berterusan di taman-taman perumahan dan kawasan penempatan seperti mengwujudkan Rukun Tetangga (RT), RELA dan Rakan Cop sebagai langkah pencegahan.

PDRM digesa meningkatkan tahap keselamatan di ‘lokasi-lokasi panas’ yang mana kerap berlakunya jenayah. Selain rondaan kerap PDRM perlu menempatkan Pondok Polis Bergerak atau Pondok Polis Sementara sebagai langkah pencegahan yang berkesan. Pemasangan CCTV juga perlu ditambah di kawasan-kawasan panas sebagai langkah pengawalan dan pengecaman jika berlaku jenayah.

Penulis berpendapat masalah serius jenayah di negara ini termasuk di Johor sendiri boleh diselesaikan jika kerajaan memilih cara pendekatan Islam yang mementingkan pendidikan moral dan pelajaran agama. Dalam dunia globalisasi yang mementingkan kebendaan (material) serta semakin mencabar, generasi muda harus diberi penekanan dan sepatutnya mengambil berat soal pendidikan rohani yang begitu kritikal dalam mengharungi pancaroba hidup dunia digital yang kompleks serta kejam.

Mereka yang tiada pertahanan dalam (rohani) yang kukuh dengan mudah boleh terpengaruh dan tergelincir dalam perbuatan salah moral seperti rasuah, sumbang mahram, jenayah kolar putih, pergaulan tanpa had lelaki wanita, dadah dan jenayah merogol akibat dari tiadanya kesedaran agama yang mendalam tentang hukum Tuhan dan hukum pahala dosa yang sepatutnya menjadi panduan hidup. Bagi bukan Islam, pendidikan moral harus diperkenal dan ditingkatkan dari awal peringkat persekolahan dengan kerjasama penuh ibubapa dan sekolah di samping hukuman keras dan setimpal harus dikenakan kepada mereka yang terlibat jenayah dengan tujuan mengajar dan mendidik mereka.

Di era komputer yang sophistikated ini di mana ibubapa ingin melihat anak-anaknya berjaya dalam pelajaran, kerjaya dan hidup secara total, kadangkala mereka lupa mematuhi soal moral dan hukum agama secara mendalam akhirnya menjerumuskan mereka dalam kancah jenayah yang tidak mereka sedari. Kebanyakan mereka ghairah memburu kemewahan harta dan material untuk kesenangan dan kebangaan hidup, tetapi lupa batas-batas hukum agama dan moral yang sepatutnya juga diberi penekanan dalam mencapai impian hidup mereka.

Tiada ulasan: