Selasa, 27 April 2010

Jawatankuasa Hak tentu nasib Anwar

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA KANGSAR –Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berdepan hukuman setimpal sekiranya Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mendapati beliau bersalah berhubung tuduhannya mengaitkan konsep 1 Malaysia ditiru daripada One Israel.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz, berkata, setelah usul berkaitan tuduhan berkenaan dibentang dan dibahas di Parlimen, Anwar kini dirujuk kepada jawatankuasa untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, apabila jawatankuasa melakukan mesyuarat, sebarang keputusan akan dibawa semula ke Dewan Rakyat untuk dibahas semula.

“Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat dan terdiri daripada tujuh panel, manakala tiga daripadanya adalah dari Pakatan Pembangkang.

“Apabila mereka buat mesyuarat, apa juga keputusan akan dibawa semula ke Parlimen untuk dijadikan usul, kalau sekiranya Anwar didapati bersalah sekali lagi akan diusul, dibahas dan diundi semula.

“Jika didapati bersalah usul hukuman akan dibuat dan bergantung kepada jawatankuasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Vespa Antarabangsa 2010, bertempat di Arena Square, di sini, semalam.

Beliau berkata, jika tidak bersalah Anwar tidak seharusnya bimbang dengan usul yang dibuat kerana ia hanya pertuduhan.

“Kalau usul ini cacat biarlah jawatankuasa yang tolak, apa yang perlu usul akan diundi bagi menentukan keputusan.

“Apa jua keputusan daripada jawatankuasa boleh dibahaskan ketika persidangan dan Parlimen dijangkakan bersidang pada 7 Jun depan,” katanya.

Tiada ulasan: