Jumaat, 23 April 2010

JAIP Bendung Pembelian Nombor Ekor Oleh Orang Islam

BERNAMA

KUANTAN: Pelbagai usaha dilakukan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bagi membendung dan menghalang kegiatan pembelian nombor ekor oleh orang Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata, antara langkah yang dijalankan adalah operasi secara berterusan oleh bahagian penguatkuasaan JAIP terhadap premis-premis judi.

Beliau berkata, JAIP juga membuat tangkapan dan seterusnya mendakwa individu yang terbabit ke Mahkamah Rendah Syariah.

"Setelah tangkapan dibuat, pihak penguatkuasaan akan mengadakan sesi kaunseling terhadap pesalah judi ini supaya tidak mengulangi perbuatan itu," katanya ketika menjawab soalan Syed Hamid Syed Mohamed (PAS-Semantan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri itu, di sini hari ini.

Mohamad Sahfri berkata selain itu, JAIP turut melakukan rondaan terhadap premis-premis judi bagi mencegah orang-orang Islam berkunjung ke tempat berkenaan.

Katanya, pada masa akan datang, JAIP merancang menyediakan van bergerak yang akan berada di lokasi-lokasi menjadi tumpuan orang Islam membeli nombor ekor di mana beberapa orang pegawai penguatkuasa agama akan ditempatkan di dalam van berkenaan untuk tujuan pemantauan.

Mengenai cadangan Leong Ngah Ngah (DAP-Triang) supaya keputusan nombor ekor tidak disiarkan di dalam surat khabar berbahasa Melayu sebagai salah satu usaha membendung pembelian nombor ekor di kalangan orang Islam, Mohamad Sahfri berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada pihak media.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan, Datuk Ir Mohd Soffi Abdul Razak berkata, kerja-kerja penggantian paip di semua daerah di Negeri Pahang adalah satu program yang berterusan.

Katanya, pelaksanaannya bergantung kepada keutamaan dan peruntukan yang diperlukan adalah tinggi.

"Oleh itu kita menggunakan kaedah lain seperti pengurusan tahunan untuk memastikan paip-paip lama masih boleh berfungsi dengan baik," katanya ketika menjawab soalan Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak (BN-Tahan) mengenai cadangan pihak kerajaan menaiktarafkan perbekalan air di Pahang.

Tiada ulasan: