Rabu, 7 April 2010

ISA: Kerajaan lakukan dosa besar pada pelajar asing

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR,: Kerajaan telah melakukan dosa yang besar kepada pelajar-pelajar asing yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (gambar).

Beliau juga menyifatkan tindakan kerajaan menghantar pulang pelajar luar negara yang ditahan di bawah ISA sebagai satu penganiayaan kepada mereka yang sedang menghabiskan pengajian.

"Kerajaan telah melakukan dosa yang besar kepada pelajar-pelajar ini kerana melabel mereka sebagai pengganas sehingga menyebabkan mereka menghadapi tekanan daripada kerajaan negara mereka," katanya.

Ekoran itu, beliau menggesa kerajaan memberikan maklumat yang tepat mengenai maklumat kesemua penuntut luar negara yang ditahan di bawah akta zalim itu.

Lo' Lo' sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam membangkitkan perkara itu dengan merujuk kepada insiden penahanan 12 penuntut sarjana dan doktor falsafah universiti tempatan di bawah ISA pada 21 Januari lalu.

"Saya berharap agar Menteri Dalam Negeri memaklumkan secara tepat maklumat orang-orang yang ditahan ini seperti nama, warganegara mana dan kenapa mereka ditahan dan dituduh pengganas. Bayangkan jika pelajar Malaysia di luar negara ditahan dan dituduh militan tanpa bicara, apakah tindakan Kerajaan Malaysia," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau juga mempersoal sikap tidak bertanggungjawab kerajaan khususnya menteri berkaitan yang sanggup membiarkan keluarga tahanan yang telah dihantar pulang ke nagara asal masing-masing terkontang kanting di negara ini.

"Di manakah sikap tanggungjawab kerajaan yang memerintah, di mana menteri wanita yang sering dipapar di media sebagai prihatin tapi menutup mana dalam hal ini. Walaupun menteri ada memberi respons sedikit namun saya tidak lihat tanggungjawab yang bersungguh untuk memastikan isteri dan anak mereka dihantar pulang dengan dibiayai oleh kerajaan," katanya.

Mac lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menghantar pulang empat daripada 12 tahanan itu ke negara asal masing-masing tanpa memaklumkannya kepada isteri dan ahli keluarga mereka.

Mereka juga langsung tidak dibenarkan berjumpa dengan ahli keluarga sebelum dihantar pulang selain dinafikan hak untuk bertemu peguam walaupun telah beberapa kali dipohon untuk berbuat demikian.

"Setelah mungkin kerajaan menyedari kesilapan yang dilakukan dan tekanan antarabangsa daripada negara asal tahanan tersebut, KDN secepat kilat menghantar pulang tahanan tanpa memaklumkan kepada isteri dan anak mereka," katanya.

Tiada ulasan: