Selasa, 27 April 2010

Injunksi Ong terhadap Tiong ditangguh pada 17 Mei

BERNAMA


OngTeeKeat KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan pada 17 Mei untuk mendengar permohonan injunksi Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd Datuk Seri Tiong King Sing, daripada terus membuat kenyataan fitnah terhadap beliau.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Prasad Sandosham Abraham menetapkan tarikh baru itu kerana peguam Tiong memerlukan masa untuk menjawab afidavit terkini Ong yang difailkan pagi ini.

Mahkamah itu, yang dijadual mendengar permohonan injunksi tersebut hari ini, diberitahu oleh peguam Ong, Ronnie Tan bahawa beliau menerima satu dokumen penting daripada kliennya berkaitan kes itu petang semalam dan memfailkan satu afidavit pagi ini.ong

Ong, pada ketika itu presiden MCA, memfailkan saman fitnah sebanyak RM500 juta terhadap Tiong, yang juga anggota Parlimen Bintulu dan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan pada 24 Ogos tahun lepas.

Beliau mendakwa Tiong telah memfitnah beliau dalam satu artikel yang disiarkan dalam laman web Malaysiakini pada 12 Ogos, 2009, di mana Tiong menyatakan beliau telah memberikan Ong RM10 juta untuk aktiviti MCA.

Kuala Dimensi adalah projek siap guna untuk Zon Bebas Pelabuhan Klang yang kini disiasat kerana kenyataan kewangannya yang tidak sempurna.


Tiada ulasan: