Khamis, 1 April 2010

Ingatan kepada penzina buang, bunuh bayi

UTUSAN ONLINE

IPOH - Perbuatan membuang dan membunuh bayi yang semakin menjadi-jadi sekarang adalah lebih teruk dan kejam daripada perbuatan membunuh bayi perempuan yang dilakukan di zaman jahiliah.

Penasihat Khas Agama kepada Menteri Besar Perak, Kapten (B) Datuk Mohd. Najmuddin Elias berkata, ini kerana masyarakat sekarang sudah mempunyai fahaman agama serta ilmu pengetahuan, tidak seperti masyarakat jahiliah yang mempercayai anak perempuan membawa sial kepada keluarga.

Menurutnya, kejadian pembuangan bayi sekarang juga dilakukan tanpa mengira jantina anak kecil itu.

"Bertimpa-timpa dosanya kerana barangkali mereka yang membuang bayi itu pernah melakukan zina yang merupakan dosa besar dan kemudian membuang serta membunuh bayi juga satu lagi dosa besar.

''Mereka mungkin boleh terlepas hukuman dunia tetapi tidak boleh lari daripada hukuman akhirat dan mereka juga akan dibayangi pembalasan Allah atas apa yang mereka buat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

Terbaru, mayat seorang bayi ditemui tersangkut pada pukat nelayan di Sungai Pasir di Kuantan, Pahang semalam dan pada hari sama, seorang wanita membuat laporan polis selepas seorang ibu tidak mengambil semula anak yang ditinggalkannya sejak seminggu lalu.

Pada Sabtu lalu pula, seorang bayi perempuan dijumpai dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di sini dan beberapa hari selepas itu, mayat seorang bayi lelaki ditemui dengan tangannya terputus digonggong seekor anjing di sebuah kilang simen di Kampung Melayu Subang, Selangor.

Mohd. Najmuddin seterusnya memuji usaha Utusan Malaysia melancarkan kempen Kami Prihatin kerana ia membuka ruang kepada masyarakat untuk melibatkan diri membantu membendung masalah tersebut.

''Bagi saya, usaha menangani masalah ini bukan terletak kepada pihak berkuasa semata-mata tetapi perlu melibatkan semua masyarakat tanpa mengira kaum dan usia.

''Ini kerana perkara itu berlaku dalam masyarakat dan mereka yang mempunyai maklumat perlu melaporkan kepada pihak berkuasa," katanya.

Tiada ulasan: