Rabu, 28 April 2010

Hulu Selangor referendum untuk semua

Oleh Haris Zalkapli


Keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang memihak Barisan Nasional selepas tewas tipis pada Mac 2008 perlu dibaca dengan sewajarnya, dengan tidak melebihkan atau menenggelamkan hal-hal tertentu.

Isu-isu politik setempat dan kempen PR serta perkara berkaitan perlu dinilai dengan sewajarnya. Seperti yang disebut oleh ramai pendukung Pakatan Rakyat sebelum pilihan raya, undian di Hulu Selangor ialah referendum dan gambaran pilihan raya umum akan datang.

Akibatnya, kekalahan ini tidak boleh dinafikan sebagai akibat sebahagian sikap dan dasar PR, sama ada secara individu atau kolektif, dan perlu dilihat sebagai satu referendum.

Walaupun BN diketahui menggunakan pelbagai ganjaran sebagai habuan untuk meraih undi, beberapa tindakan PR sendiri memudahkan usaha BN itu.

Isu-isu Melayu tidak boleh lagi dikesampingkan atau diletakkan dalam kerangka "politik lama" atau politik perkauman kerana terbukti undi Melayu memberi impak tersendiri.

Hulu Selangor telah menunjukkan gambaran had dan cabaran kerjasama dan pembinaan koalisi PR, daripada pembuatan dasar dan kepimpinan hingga kepada pergerakan jentera di medan.

Hulu Selangor juga telah mendedahkan usaha melobi dan politik puak dalam kalangan PR yang agak berlebihan.

Sentimen kalangan akktivis PR juga membawa kepada penyelewengan atau usaha mengolah persetujuan melalui survei atau kajian-kajian tertentu, yang biasanya (daripada pengalaman negara-negara membangun yang terlibat) dapat digunakan untuk menuduh penyelewengan dalam proses undian.

BN terutama Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak boleh melihat Hulu Selangor sebagai satu kejayaan 1Malaysia, tetapi kawasan itu masih lagi majoriti Melayu dengan kawasan Felda yang besar.

Ujian sebenar 1Malaysia ialah kawasan yang lebih bercampur, dengan isu-isu yang lebih pelbagai daripada yang dilihat di Hulu Selangor.

Bagi PAS, parti ini telah membuktikan semangat setianya dalam perjanjian, walaupun tidak menerima layanan yang sewajarnya daripada parti rakan.

Hakikat bahawa PAS bertugas di kawasan yang paling sukar memberikan merit kepada hal tersebut, dan perlu dibaca sebagai sumbangan besar PAS dalam PR, dan bukan ukuran kepada sokongan atau populariti pemimpin-pemimpin tertentu yang dikaitkan dengan "kerajaan perpaduan."

Dalam persaingan PKR dan PAS di Selangor terutamanya, Hulu Selangor telah membuktikan kredibiliti PAS, dan menunjukkan perlunya PKR meningkatkan prestasinya untuk dilihat sebagai sekutu yang penting dalam PR.

Selepas Hulu Selangor, dapat dijangka pragmatisme yang meningkat pada pihak PR dalam usaha memenangi kumpulan pengundi Melayu Muslim.

Kejayaan BN merampas semula Parlimen Hulu Selangor perlu menyedarkan PR tentang banyak perkara, dan mendorong kepada beberapa perubahan besar yang dapat membuktikan gabungan itu bukan satu gerombolan politik oportunis.

Sekiranya PR tidak dapat belajar daripada kekalahan di Hulu Selangor, sejarah bakal mencatatkan kekalahan itu hanyalah satu permulaan kepada satu kemerosotan besar PR.

Tiada ulasan: