Ahad, 25 April 2010

Hasan nafi salah guna masjid

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, menafikan dakwaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beliau mengingkari arahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya tidak menggunakan masjid sebagai medan berpolitik.

Sebagai Exco Hal Ehwal Islam dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Hasan berkata, beliau sentiasa bertindak sebagai individu contoh kepada khatib dan imam masjid di negeri ini dalam menghindarkan politik kepartian dalam rumah Allah.

“Saya tidak pernah sama sekali terlintas atau melakukan perkara yang menyalahi perintah Sultan Selangor yang menjadi tonggak kuasa tertinggi mengenai agama Islam,” katanya.

Mengenai bacaan selawat yang menjadi rukun sah khutbah dan sembahyang Jumaat, beliau berkata pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Ahli Jawatankuasa Masjid As-Salam yang hadir boleh mengesahkan bahawa beliau ada membaca selawat itu.

"Apa yang disampaikan ketika khutbah ialah mengenai pembangunan yang tidak seimbang dan kesannya dengan memetik beberapa pandangan ahli fikir Islam yang menyatakan hanya Islam yang menjadi faktor bagi menyelesaikan masalah umat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Adat Rakyat Selangor di Seksyen 13 Shah Alam, semalam.

Hasan berkata, penjelasan itu diharap dapat menjawab kekeliruan laporan akhbar dan dakwaan yang dibuat oleh beberapa pemimpin mengenai penyalah- gunaan masjid serta syarat sah solat Jumaat seperti yang disiarkan beberapa akhbar.

“Penjelasan ini merupakan jawapan kepada tuduhan tidak berasas yang dilemparkan kepada saya dan suka saya nyatakan saya tidak berpolitik melalui khutbah, sebaliknya khutbah saya itu telah dipolitikkan,” katanya.

Menurutnya, sebagai Exco menjaga hal ehwal Islam, beliau telah diberi amanah menjaga kesucian masjid daripada dikotori oleh sebarang unsur politik.

“Kalau itu berlaku, bermakna saya tidak menjalankan tanggungjawab saya dan saya serah kepada pucuk pimpinan untuk menentukan apa yang patut dilakukan kepada saya,” katanya.

Tiada ulasan: