Jumaat, 23 April 2010

Hari keenam - diari Hulu Selangor

,MALAYSIA KINI


Apakah yang berlaku hari ini di Hulu Selangor? Petikan kata, acara yang dirancang dan insiden yang tidak dijangkakan di kawasan parlimen P94.

9:00 pagi: Timbalan Ketua Pemuda PKR Fariz Musa dan empat lagi ditahan sejak 7.30 malam tadi dan dijangkan dibawa ke Mahkamah Kuala Kubu Bharu.

Menurut jurucakap parti, kelima-lima mereka ditahan di Balai Polis Bukit Sentosa kerana dituduh menurunkan poster BN dan boleh direman untuk siasatan bawah Kanun Keseksaan.

11.00 pagi: PKR akan membangkitkan isu berhubung masyarakat Orang Asli dalam sidang media hariannya di Kuala Kubu Bharu.

11.30 pagi:
Isteri perdana menteri Rosmah Mansur akan menghadiri 'Program Sentuhan Kasih 1Malaysia' di pusat khidmat komuniti, Felda Kampung Soeharto.

11.40 pagi: Jentera Orang Asli PKR bersama penduduk masyarakat itu mengadakan sidang media di Kuala Kubu Bahru. Mereka mendakwa BN menggunakan tektik kotor untuk memancing undi, termasuk menggunakan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dengan memberikan wang tunai, benih, makanan dan minuman beralkohol.

Ia turut diberikan kepada pendududuk bawah umur, dakwa mereka.

"Mereka bawa benih manggis dan kelapa untuk diberikan tetapi selepas (pekerja PKR) mula ambil gambar, mereka masukkan balik benih manggis ke dalam trak," kata Masah Anak Atan daripada Kampung Orang Asli Serendah.

12.00 tengah hari: PKR melancarkan strategi online bagi memmujuk pengundi muda berdaftar di Hulu Selangor yang merantau supaya pulang mengundi pada Ahad.

Strategi itu akan dilaksanakan melalui Facebook, Twitter dan media sosial yang lain.

Parti itu menjangkakan kelompok tersbeut mencapai 10 peratus daripada 64,500 pengundi yang boleh menjadi faktor penentu kemenangan dalam pilihan raya itu.

1.05 petang: Selepas ditahan semalaman, Timbalan Ketua Pemuda PKR Faris Musa dan empat lagi dibebaskan selepas majistret Kuala Kubu Baru menolak permohanan perintah reman terhadap mereka.

Mereka ditahan semalam dan disiasat di bawah Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya kerana memiliki pisau.

2.00 petang: Gambar calon BN P Kamalanathan mencium tangan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) menjadi isu untuk PKR di kalangan pengundi bukan Melayu.

Dalam risalah PKR yang bertulis Mandarin, bertulis semua pemimpin Pakatan bekerja sama secara jujur, sementara dalam BN, Kamalanathan hanyalah kakitangan Umno.

5.00 petang:
Calon PKR Datuk Zaid Ibrahim akan melawat ladang 15 dan SJKC Bernam, Beliau memulakan kempennya hari ini seawal jam 8 pagi di pasar pagi Kuala Kubu Bharu sebelum bergerak ke Batang Kali (10 pagi).

Calon BN P Kamalanathan, bersama timbalan presiden MIC G Palanivel akan melawat estet Sri Keledang. Malan ini (8.00 malam), ketua penerangan MIC dan presiden S Samy Vellu akan berada di Taman Bukit Teratai.

5.30 petang:
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadiri program 'Ikatan Mesra dengan Masyarakat India" di SJK(T) Taman Bukit Teratai, Batang Kali.

6.00 petang: Seorang aktivis PKR dan enam mahasiswa masih disiasat polis kerana disyaki membawa risalah parti yang menyalahi Akta Percetakan dan Penerbitan 1984.

Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara itu.

Menurutnya, kesemua mereka yang ditahan di tempat yang berbeza-beza kini dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Baru supaya kenyataan masing-masing dapat dirakamkan.

9.00 malam: Bekas ketua Pemuda PKR Ezam Mohd Noor akan berucap di pusat operasi BN di Kampung Pasir, Kerling.

10.00 malam: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Zaid akan berceramah di Felda Gedangsa dalam kawasan DUN Hulu Bernam.

Tiada ulasan: