Selasa, 27 April 2010

H1N1: Lelaki 63 tahun mangsa terbaru

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Satu lagi kematian berkaitan virus influenza A (H1N1) dilapor, membabitkan seorang lelaki berusia 63 tahun yang menghidap penyakit paru-paru kronik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, lelaki terbabit dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada 22 April lepas dan meninggal dunia keesokan harinya.

Beliau berkata, walaupun kes itu disahkan positif jangkitan virus H1N1 melalui ujian PCR, pakar perubatan yang mengendalikan kes itu mengesahkan kematian disebabkan jangkitan bakteria dalam darah berdasarkan keputusan ujian darah yang dijalankan.

“Oleh itu jumlah kematian H1N1 seluruh negara masih kekal 80 orang,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mengenai jumlah kes terkumpul, Dr Mohd Ismail berkata, sehingga 5.30 petang semalam sejumlah 39 kes disahkan influeza A(H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah kes terkumpul setakat ini 13,436 kes.

Dr Mohd Ismail berkata, sehingga pukul 8 pagi ini, pihaknya menerima tiga laporan kejadian kluster ILI dari tiga negeri iaitu Pahang, Melaka dan Kedah.

Katanya, jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad adalah 545 kes dan daripada jumlah itu 60 kes (11 peratus) disahkan positif influenza A (H1N1) manakala 10 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan sembilan daripadanya mempunyai faktor risiko.

Tiada ulasan: