Rabu, 21 April 2010

Gugusan Felda, Hulu Bernam masih memihak pada BN

Abdul Rahim Sabri & Salhan K Ahmad



Sokongan pengundi di gugusan kawasan Felda di Hulu Selangor masih berpusat kepada BN, namun PKR masih berpeluang untuk meningkatkan prestasi mereka di kawasan berkenaan berbanding keputusan Mac 2008.

Aktiviti kempen Pakatan Rakyat di kawasan ini dijangka bertambah rancak dengan kehadiran mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 23 April, manakala menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pula dijangka akan membuat satu "pengumuman penting" berhubung kebajikan golongan peneroka tersebut.

BN juga mempertingkatkan aktiviti mereka ke kawasan ini dengan menjadikan Dewan Felda Sungai Tengi sebagai tumpuan aktiviti mereka. Pentas mereka di sini telahpun dikunjungi pemimpin tertinggi Umno termasuk presidennya Datuk Seri Najib Razak dan juga timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penceramah Umno yang popular dengan isu-isu Melayu pula mengisi pentas ceramahnya untuk terus merapatkan lagi golongan peneroka kepada BN.

Walau majoriti undi kawasan ini tidak memihak kepada PKR, kemenangan penyandang kerusi Dewan Rakyat ini, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dalam pilihan raya umum ke-12, banyak dibantu daripada peralihan sokongan warga peneroka ini kepada PKR.

Kini terdapat empat buah rancangan Felda di kawasan ini - Felda Soeharto, Felda Gedangsa, Felda Sungai Tengi dan Felda Sungai Tengi Selatan.

Keempat-empat kawasan tersebut mempunyai kira-kira 6,900 pengundi. Dalam pilihan raya umum lalu, pada keseluruhannya, BN menang dengan majoriti kira-kira 1,100 undi.

Sebuah lagi tanah rancangan, Felda Sungai Buaya yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Bukit Beruntung, kini sebahagiannya, telah dimajukan menjadi sebuah kawasan penempatan baru - Bandar Sungai Buaya.

Tinjauan Malaysiakini mendapati, sokongan pengundi yang majoritinya Melayu di gugusan rancangan ini sebahagian besarnya masih kekal kepada BN.

Populariti calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim masih belum dapat dirasai sewaktu kempen masuk hari kelima pada Rabu.

Beliau juga terpaksa berdepan dengan isu yang melingkari peribadinya - isu pengambilan minuman keras dan judi yang meresahkan penyokong PAS di sini.

Hari demi hari, Zaid terpaksa menjawab isu-isu tersebut tanpa berpeluang untuk mengetengahkan rancangannya, khususnya kepada golongan Melayu yang mewakili 53.6 peratus daripada keseluruhan 63,593 pengundi.

Di sudut BN, calonnya P Kamalanathan dari MIC pula terus mengikuti program lazim sebagai calon dengan selesa, malah terus menonjolkan dirinya kepada pengundi.

Pengamal perhubungan awam itu juga lebih popular kerana dapat bertutur dalam Bahasa Malaysia dengan baik, sedangkan Zaid dilihat agak kaku apabila cuba mendekati pengundi di sini.

Kekuatan jentera

Dalam keresahan ini, aktiviti jentera PAS yang menunjangi kempen calon PKR di gugusan tanah rancangan ini juga belum berjalan dengan lancar.

Pemimpin PAS berkata setakat ini parti itu belum mengerahkan seluruh kekuatan jenteranya untuk membantu PKR dalam pilihan raya ini.

Di Felda Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan, PAS menurunkan jentera negeri Terengganu dengan kekuatan 300 orang. Mereka dibantu oleh PAS

bahagian Tanjung Karang bagi Sungai Tengi, di mana BN turut mempertingkatkan kehadiran mereka di situ.

Kedua-dua kawasan ini dimenangi dengan selesa oleh calon BN Datuk G Palanivel dalam pemilihan yang lalu dengan majoriti antara 20 peratus hingga 25 peratus, namun majoritinya merosot di dua peti undi.

Namun, undi protes daripada para peneroka ini juga paling banyak dikesan di Sungai Tengi pada pemilihan 2008, kata pengarah pilihan raya PAS Terengganu Ariffin Deraman (kiri).

Ini dapat dilihat di peti undi Changkat Asa yang hanya mempunyai satu saluran, mencatat penurunan majoriti sebanyak 5.4 peratus manakala Kampung Hulu Bernam pula majoritinya merosot sehingga 10.3 peratus di salah satu saluran pengundinya.

Keputusan pilihan raya umum 2008 menunjukkan calon BN, Datuk G Palanivel menang di Hulu Bernam, dengan mendapat 6,855 undi, manakala calon PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad mendapat 5,375 undi. Palanivel menang dengan majoriti 1,480 undi.

Undi golongan muda

Jentera Umno di kawasan ini yakin bahawa pengundi muda sudah dapat menerima calon BN yang diuar-uarkan sebagai wakil daripada golongan berkenaan.

Ketua Umno cawangan Rumah Awam 2, Kampung Hulu Bernam, Nor Mohamad Badaruddin berkata pengundi muda kini sudah mula menawarkan diri untuk berkerja dan berkempen untuk BN.

"Kali ini mereka sudah mula sedar, bahawa tidak ada pembangunan yang dibawa oleh PKR sekadar (pembangunan) "Maggi Mee" sahaja. Keadilan sakit, mereka tidak buat apa-apa," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Umno di Hulu Selangor.

Beliau mensasarkan kira-kira 20 peratus pengundi muda di Hulu Bernam, manakala 60 peratus lagi didakwa sudah bersama dengan BN sejak pilihan raya yang lalu.

Ketika ditemui Malaysiakini semalam, Nor Mohamad berkata setakat hari keempat berkempen jentera Umno di Hulu Selangor telah digerakkan dengan begitu baik dan tenang.

"Tiada lagi hati yang pedih. Kita terima (calon MIC). Tidak salah kongsi kuasa atas persefahaman dan perkongsian dalam BN. Inilah konsep 1Malaysia," katanya.


"Soal bangsa tidak timbul, kita mempunyai peluang yang cerah untuk menang. Setakat ini 60 peratus. Kita nak tambah sehingga 70 hingga 80 peratus. Tembelang PKR kini dah pecah," katanya.

Projek 'maggie mee'

Isu pembangunan dijadikan modal utama dalam meraih semula golongan 'saluran empat dan lima' ini.

"Kita tidak mahu seperti maggi mee, setelah dua tahun (memerintah negeri) tak nampak sebarang pembangunan.

"Kerajaan negeri, tidak ada membuat pembangunan, masjid di situ (Masjid Jamek Al-Rahman) dibina pun adalah dari permohonan kami dahulu, PKR cuci kaki sahaja," katanya.

Katanya lagi, pengundi terpaksa menghantar anak mereka bersekolah di Tanjung Malim, Perak yang terletak kira-kira 1 kilometer dari Hulu Bernam yang bersempadan dengan bahagian itu.

Seorang penjaja, Mohd Alwai Abdullah pula berkata beliau sebelum ini menyokong PKR dalam pemilihan lalu.

Mohd Alwai yang menetap di situ sejak 16 tahun lalu berkata beliau yang telah membuat permohonan untuk mendapatkan mesin perahan air tebu, belum mendapat reaksi daripada PKR.

'Saya minta pinjaman wang. Tak bagi wang, mesin pun tak apa. Saya juga minta alat keperluan yang lain... (Namun) kepercayaan (terhadap PKR) tidak hilang, walaupun minta bantuan tak dapat," katanya.

Bergantung pada Felda

Mohd Alwaimengusaha tanaman tebu seluas kira-kira 1 ekar di Kampung Hulu Bernam yang terletak di pinggir gugusan rancangan Felda berkenaan.

Tanah rancangan Felda Sungai Tengi merupakan kawasan terawal yang dimajukan, manakala peneroka di kampung ini juga telah menerima geran bagi tanah yang diusahakan mereka.

"Ini yang menyebabkan mereka lebih berani untuk mengundi Pakatan," kata Ariffin ketika ditemui di bilik gerakan PKR di Desa Maju Sungai Tengi.

Katanya lagi, PAS menggunakan pentas ceramahnya yang terletak di Dataran Kampung Desa Maju di Felda Sungai Tengi itu sebagai gelanggang utama untuk meraih sokongan.

"Kita juga telah jalankan kunjungan rumah ke rumah," katanya lagi.

Jelasnya, halangan utama PAS dalam meraih sokongan daripada pengundi di sini ialah kebergantungan golongan peneroka itu kepada Felda.

"Felda di sini memang kubu BN. Umno akan kata, pengundi tidak mengenang budi jika tidak sokong BN, tapi kita akan jelaskan ini sememangnya tanggungjawab kerajaan untuk bantu rakyat," katanya lagi.

Meraih sokongan

Agenda utama PAS dalam meraih sokongan peneroka di kawasan ini dibawa oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK).

Antara tumpuannya utama pertubuhan ini adalah untuk memansuhkan Felda Plantation serta tuntutan supaya generasi kedua Felda dan anak-anak peneroka ini diberi milik ke atas tanah yang diusahakan ibu bapa mereka.
.
Bagi seorang peneroka di kawasan ini, pemilihan kali ini tidak memberi banyak makna kepadanya.

Sirat Mat Damin, 73, (kanan) merupakan seorang daripada 100 orang peneroka terawal yang mula mengusahakan tanah di sini sejak 47 tahun lalu.

"Apa yang beza? PKR ke, BN ke sama saja. Bila pilihan raya baru muncul ke sini," katanya ketika ditemui di sebuah kedai makan di hadapan Dataran Desa Maju Sungai Tengi.

"Tapi (Datuk Zainal Abidin) kita tahulah asyik sakit dan masuk keluar hospital saja," katanya lagi yang tidak menyalahkan Datuk Zainal Abidin Ahmad, penyandang kerusi itu sebelum ini kerana tidak turun padang.

Beliau juga berpendapat golongan muda yang banyak menyokong PKR dalam pilihan raya umum yang lalu berbuat demikian tanpa berfikir secara mendalam.

Kawasan tumpuan utama

"Budak-budak ini undi untuk seronok-seronok saya pilih PKR. Orang di sini ramai pilih BN. Saya dari dulu sampai sekarang BN sajalah," ujarnya yang mempunyai lima orang anak.

Anak-anaknya itu bekerja di Kuala Lumpur sebagai penjawat awam, kecuali seorang anak perempuannya yang berkahwin dengan seorang peneroka yang mengusahakan tanah rancangan di Sungai Tengi Selatan.

Katannya, beliau juga tidak pernah menemui calon BN P Kamalanathan semenjak kempen bermula pada Sabtu.

"Saya tidak tahulah apa dia hendak buat untuk kita di kawasan ini. Dulu (BN) letak calon India juga. Orang sini tak suka dengan calon India, tapi letak calon India lagi. Siapa nama dia?," katanya.

Tambahnya, beliau tidak mengharapkan apa-apa daripada pilihan raya kecil kali ini kerana segala kemudahan asas telah disediakan oleh Felda.

Desa Maju Sungai Tengi ini antara lainnya dilengkapi dengan sebuah stesen minyak, sebuah balai polis dan merupakan satu kawasan tumpuan utama bagi gugusan tanah rancangan ini.

Kegiatan masyarakatnya tertumpu di kawasan ini yang terletak kira-kira 70 kilometer daripada pekan Kuala Kubu Bharu.

Kawasan ini juga mudah untuk dimasuki melalui persimpangan Bukit Tagar di lebuhraya utara selatan, namun penduduk di sini memilih untuk ke pekan Tanjung Malim untuk membeli-belah atau melakukan urusan perbankan.

Pekan kecil tersebut merupakan destinasi terakhir bagi satu perhidmatan bas ke kawasan ini, yang dilalui sebanyak empat kali sehari.

"Kalau nak bayar hasil barulah pergi Kuala Kubu Bharu. Kalau hendak ke sana kena naik bas ke Tanjung Malim dulu, baru naik bas lain ke Kuala Kubu Bharu," katanya.

Tiada ulasan: