Rabu, 21 April 2010

Felda jadi medan pertembungan BN dan PKR

BERNAMA

HULU SELANGOR - Beberapa rancangan Felda di daerah Hulu Selangor menjadi medan pertembungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat dalam usaha meraih sokongan menjelang pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata pakatan itu berada dalam kedudukan terdesak sehingga sanggup menipu, menabur fitnah dan memanipulasikan fakta bagi meraih sokongan peneroka Felda.

Katanya, tindakan itu menunjukkan pembangkang "bankrup" idea sehingga sanggup menghasut warga Felda yang selama ini dibela kerajaan, supaya menyokong mereka.

"Pembangkang bankrup isu, jadi mereka nak pecahkan kubu BN, yang kita amat kesal pembohongan dalam ceramah, fitnah dan tohmahan tak benar juga dalam risalah," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ceramah kepada 200 peneroka Felda di Felda Sungai Tengi Selatan dekat sini hari ini.

Ceramah itu bagi menjawab tuduhan, kononnya Felda tidak membela peneroka.

Dalam sesi penerangan itu, Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno mendedahkan beberapa pembohongan pakatan yang disebarkan melalui risalah di Felda Gedangsa, Soeharto, Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan.

Tiada ulasan: