Khamis, 22 April 2010

Ezam Serah Dokumen Bukti Anwar Lindungi Skandal Bekas Presiden Bank Dunia Yang Juga Seorang Yahudi

MSTAR ONLINE

KUALA KUBU BARU: Bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat yang juga bekas Setiausaha Politik Anwar Ibrahim, Ezam M. Noor akan menyerahkan beberapa dokumen kepada parlimen yang mengandungi maklumat mengenai bukti Anwar bersubahat melindungi skandal Presiden Bank Dunia, Paul D. Wolfowitz dengan teman wanitanya.

Kata Ezam, beliau berharap dapat menyerahkan dokumen berkenaan kepada ahli Parlimen Rembau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin malam Khamis ini dalam satu ceramah.

Bercakap kepada para pemberita di sini, Ezam berkata, maklumat tersebut berguna kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen yang akan mendengar siasatan ke atas Anwar yang dihadapkan ke jawatankuasa itu kerana mengaitkan konsep 1Malaysia dengan 1Israel.

Menurut Ezam, seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Bank Dunia telah mengirimkan dokumen itu kepadanya dua hari lalu kerana tidak tahan dengan sikap hipokrit Anwar dalam menuduh Kerajaan Malaysia bersubahat dengan sebuah syarikat yang ada kepentingan dengan warga Israel sedangkan Anwar sendiri bersubahat dengan presiden Bank Dunia yang juga seorang Yahudi yang turut merancang perang ke atas Iraq.

Dalam skandal yang berlaku pada tahun 2001 itu, Wolfowitz telah menaikkan pangkat teman wanitanya sendiri yang bernama Shaha Ali Riza.

Ekoran pendedahan pihak media berhubung skandal itu, Wolfowitz telah meletakkan jawatannya sebagai presiden Bank Dunia.

Bagaimanapun menurut Ezam, dokumen yang diperolehinya itu membuktikan, Anwar telah terlibat secara langsung dalam percubaan untuk melindungi Wolfowitz daripada skandal tersebut dengan bersubahat menerima Shaha Ali Riza untuk dipindahkan ke sebuah yayasan yang bernama The Foundation For The Future.

Yayasan tersebut dipengerusikan oleh Anwar sendiri ketika itu. Dan Anwar memperolehi jawatan tersebut atas rekomendasi Wolfowitz.

Dan berdasarkan dokumen itu lagi, Shaha terus menerima gaji yang bebas cukai itu daripada Bank Dunia walaupun telah dipindahkan ke yayasan berkenaan.

Ezam turut mengedarkan salinan surat oleh Anwar bertarikh 1 Oktober 2006 kepada Robin Cleveland, iaitu penasihat undang-undang Wolfowitz di Bank Dunia — yang meminta agar Shaha Ali Riza dipindahkan ke yayasan itu tanpa sebarang masalah.

“Surat dan dokumen ini dengan sendirinya membuktikan hubungan akrab antara Anwar dan Wolfowitz malah dia adalah alat dan perkakas kepada Wolfowitz. Rakyat Malaysia perlu melihat isu ini sebagai satu isu moral yang selama ini diagung-agungkan oleh Anwar,” tegasnya lagi.

Kata Ezam, Anwar patut menjawab isu ini dengan jujur kerana ia adalah satu perbuatan yang mengkhianati umat Islam dan juga sebagai rakyat Malaysia dia juga telah mengkhianati negara ini apabila dia sanggup menjadi alat dan perkakas kepada seorang Yahudi.

Malah kata Ezam, Anwar juga telah menggunakan pelobi Yahudi di Amerika iaitu Asia Pacific Policy Centre untuk membuat kerja-kerja melobi bagi dirinya sewaktu dia menjadi timbalan perdana menteri.

Dalam reaksi segera kepada dakwaan terbaru Ezam ini, Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya berkata mereka tidak gentar dengan isu ini.

Beliau mempersoalkan kenapa Ezam mengambil masa yang begitu lama untuk mendedahkan dokumen tersebut.

“Ini bukanlah kali pertama Ezam membuat dakwaan yang seperti ini,” ujar Latheefa.

Tiada ulasan: