Khamis, 1 April 2010

Dua MP Pakatan diarah keluar dewan

Hazlan Zakaria


Ahli parlimen Bukit Mertajam Chong Eng hari ini diarahkan keluar dari Dewan Rakyat setelah pertikaman lidah yang hangat dengan ahli-ahli yang lain.

Timbalan speaker, Datuk Ronald Kiandee (kanan) mengarahkan Chong Eng (DAP - Bukit Mertajam) meninggalkan dewan pada jam 2.55 petang ketika penggulungan ucapan oleh Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Chong Eng sebelum itu berhujah berhubung isu cuti bersalin untuk pekerja wanita.

Datu
k Bung Mokhtar Radin (BN - Kinabatangan) mencelah hujahnya dan menuduh beliau sebagai "kaki manipulasi".

Chong Eng tidak berpuas hati dengan tuduhan itu dan meminta Kiandee bertindak.

Timbalan speaker sebaliknya menolak permintaan itu kerana berpendapat kenyataan itu dibuat secara berseloroh.

Chong Eng terus mendesak sehingga menyebabkan Kiandee mengarahkannya keluar dewan.

Pada sidang media di luar parlimen, Chong Eng berkata hukumannya itu satu tindakan berat sebelah.

"Orang lain yang menggunakan perkataan yang tidak sesuai di Parlimen tetapi tidak dikenakan tindakan. Sebaliknya, kita yang meminta pengadilan diusir keluar.”

'Gobalakrishnan juga diarahkan keluar'

Dalam perkembangan yang sama N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) juga diarahkan keluar dewan petang tadi oleh Kiandee.

Kali ini beliau bertengkar dengan Menteri Wilayah Persekutuan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Isu yang menjadi percakaran mereka ialah peraturan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang menyusahkan ahli parlimen pembangkang untuk mengunakan dewan orang ramai.

Perang mulut bermula apabila Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) bangkit untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu ketika Raja Nong Chik menggulung bagi pihak kementeriannya.

Ia bertambah hangat apabila mereka menuduh BN menyalah-gunakan dewan berkenaan.

Tiada ulasan: