Rabu, 14 April 2010

Dua Ahli Parlimen Minta K'jaan Kaji Semula Penubuhan Jawatankuasa Agama

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dua penyokong kerajaan hari ini meminta Kabinet menimbang semula penubuhan Jawatankuasa Kerja Perhubungan Antara Agama dan menggantikannya dengan jawatankuasa perhubungan kaum.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) berkata, beliau bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa berkenaan sekiranya bukan atas nama agama dan permintaan ini juga mewakili rakyat beragama Islam yang tidak senang dengan penubuhannya.

"Wahai Kabinet, saya minta tolong ubahlah keputusan yang tidak menguntungkan ini..." katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2010) 2010 di Dewan Rakyat di sini.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika mencelah berkata, bahawa rata-rata penduduk Islam dalam kawasannya tidak bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa berkenaan dan beliau menerima lebih 80 pesanan ringkas (SMS) dari mereka mengenai perkara itu.

Beliau turut mencadangkan jawatankuasa itu ditukar kepada jawatankuasa kaum.

Jawatankuasa agama ditubuhkan Februari lalu diketuai bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Ilani Isahak Ia bertanggungjawab antara lain mengenal pasti masalah yang boleh menjejaskan keharmonian antara penganut pelbagai agama.

Selain itu, Mohamad turut meminta kerajaan supaya menimbang semula Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat 2010 yang mengenakan caj kesesakan bagi kawasan tertentu bagi pengguna jalan raya.

"Kalau di Kuala Lumpur dilaksanakan sebegini, sudah tentu susahkan rakyat. Bagi saya belum tiba masanya lagi perkenalkan perkara ini.

Mengikut rang undang-undang itu yang dibacakan kali pertama semalam, kadar caj serta kawasan terlibat akan ditentukan menteri berkaitan, dan sesiapa yang gagal membayar caj boleh didenda tidak melebihi RM2,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Persidangan dewan disambung esok.

Tiada ulasan: