Jumaat, 23 April 2010

Denda JPJ RM1,000 Dibatalkan Atas Desakan Kuat Pakatan Rakyat

Oleh Norasikin Samsi

KUALA LUMPUR - Setelah menerima banyak bantahan dan tentangan daripada Pakatan Rakyat malah di kalangan Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) sendiri, akhirnya kerajaan memutuskan menarik semula Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lepas bagi menggugurkan tiga daripada 51 fasal yang dicadangkan pindaannya.

Tiga fasal yang akan digugurkan ialah Fasal 8 yang melarang mana-mana pihak kecuali Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat, mengeluar, mengedar, menjual atau memasang plat nombor pendaftaran; Fasal 22 bagi menaikkan had umur kelayakan memohon lesen memandu daripada 16 ke 17 tahun dan Fasal 46 yang menaikkan kadar kompaun maksimum daripada RM300 kepada RM1,000.

Bercakap dalam sidang media di lobi Parlimen semalam, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa kerajaan meneliti semula termasuk memansuhkan pindaan akta tersebut terutamanya bagi Fasal 46 selain mengadakan rundingan dengan semua pihak termasuk orang awam, pihak berkuasa dan pakar perundangan.

Menurut beliau jika Rang Undang-undang tersebut dilaksana, ia akan menambah beban kepada rakyat terutamanya golongan miskin.

"Denda kompaun daripada RM300 kepada RM1,000 adalah keterlaluan dan membebankan rakyat. Ia akan menjejaskan 27 juta rakyat Malaysia yang kebanyakannya tidak mampu berbuat demikian.

"Denda RM300 pun ada yang tak mampu inikan pula RM1,000. Nilai itu lebih separuh dari gaji bulanan rakyat. Sedangkan kemiskinan tegar negara ini mencatatkan pendapatan rakyat memperolehi RM400 sebulan," katanya.

Jelas beliau, peningkatan nilai tiga kali ganda ini juga menunjukkan Barisan Nasional sememangnya zalim, tidak berhati perut serta tidak munasabah.

"Tidak ada seorangpun menyokong termasuk penyokong BN dan tentunya Ahli Parlimen BN akan sokong di hadapan tetapi sebaliknya di belakang mereka turut membantah sebab akan menyusahkan mereka sendiri termasuk semua rakyat kerana kenaikan itu terlalu melampau," kata Guan Eng lagi.

Guan Eng turut mencadangkan bahawa sebuah Jawatankuasa Pemilihan yang terdiri daripada pelbagai anggota perlu diwujudkan bagi membincangkan perkara tersebut.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata keputusan itu dibuat selepas dua hari kerajaan menerima tekanan dan desakan rakyat mengenainya dibangkitkan dalam ceramah kempen pilihan raya Hulu Selangor di Batang Kali semalam.

"Dengan jelas bantahan orang ramai di majlis ceramah semalam di Batang Kali telah sampai ke telinga pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan sebab itu mereka menyedari pindaan itu sekiranya diteruskan akan menjejaskan BN dalam pilihan raya Hulu Selangor Ahad ini," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata tindakan itu dibuat selepas menerima maklumbalas daripada BNBBC yang tidak bersetuju dengan beberapa pindaan tersebut.

Nazri berkata, RangUundang-undang itu akan dibentangkan semula untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadual Jun ini.

“Selepas berunding dengan pihak dewan dan mendapat pengesahan daripada Perdana Menteri dan Ketua Whip (Tan Sri Muhyiddin Yassin), maka kita buat keputusan untuk menarik balik pindaan ini dan akan dibawa balik dalam persidangan akan datang,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas dua jam Guan Eng mengadakan sidang medianya.

Tiada ulasan: