Jumaat, 16 April 2010

Chandran: ‘Saya bukan calon Bebas buat kacau’

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

HULU SELANGOR — Bekas timbalan ketua MIC Bahagian Hulu Selangor, V.S. Chandran yang akan bertanding atas tiket calon Bebas di Hulu Selangor menafikan dakwaan beliau akan bertindak sebagai “pengacau” dalam pilihan raya kecil ini.

Chandran, 54, berkata, dakwaan itu tidak benar kerana beliau mempunyai sebab untuk bertanding sebagai calon Bebas.

“Saya bukan pengacau seperti yang didakwa, saya ada sebab untuk bertanding. Bukan saya suka-suka mahu bertanding... ini semua kerana penduduk di sini.

“Saya mahu bawa suara rakyat yang selama ini ditindas dan tidak dipedulikan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan MIC.

“Majoriti penduduk di sini kenal saya, mereka tahu macam mana saya bekerja dan apa keutamaan saya. Terpulang kepada sesiapa sahaja untuk kata mengenai saya, saya tidak kisah,” katanya ketika ditemui di Ulu Yam Baru dekat sini.

Tambahnya, sebagai anak tempatan beliau sudah merasai kesusahan dan tahu apa masalah rakyat di Hulu Selangor.

“Saya pernah rasa masalah rakyat dan saya tahu apa yang mereka mahukan. Saya tahu bagaimana untuk membantu mereka,” katanya.

“Semua pengalaman yang saya ada ini cukup untuk membantu seterusnya menyelesaikan masalah rakyat sekiranya saya menjadi Ahli Parlimen,” katanya.

Apabila ditanya mengenai calon PR, Datuk Zaid Ibrahim, beliau mengatakan Zaid bukan anak tempatan dan sudah pasti beliau tidak akan mengutamakan rakyat di Hulu Selangor.

“Beliau (Zaid) bukan anak tempatan, saya sudah rasa dan nampak sekiranya beliau menang dan menjadi Ahli Parlimen sudah pasti rakyat akan diabaikan.

“Ini kerana beliau tidak duduk disini, jadi macam mana beliau nak berkhidmat untuk rakyat. Sekiranya berlaku masalah seperti banjir, apa yang akan beliau lakukan nanti?” katanya.

Tambah Chandran, beliau tidak takut sebarang ugutan ataupun provokasi yang bakal dilakukan oleh MIC sepanjang kempen pilihan raya nanti.

“Saya tidak takut kepada sebarang ugutan yang mungkin dilakukan oleh MIC atau PR nanti. Saya tahu apa yang saya lakukan, kalau saya salah saya akan mengaku.

“Kalau mereka nak serang secara peribadi pun saya tidak kisah kerana bukan semua orang sempurna. Tiada masalah, saya terima.

“Saya bukan Tuhan untuk menjadi sempurna, sudah pasti saya ada kekurangan dan kelemahan. Kalau mereka nak serang juga saya tidak kisah,” katanya.

Tiada ulasan: