Ahad, 18 April 2010

CELCOM TERUK, TELEKOM BURUK?


ANTIK.... Phang menunjukkan telefon antik yang enggan ditukar Telekom Malaysia sehingga terpaksa menggunakan gagang mesin faksimili di salonnya yang kini tidak dapat dihubungi kerana talian rosak.

Oleh: SURIATI MAHMUD


WABAK kemunduran teknologi pemancar, jalur lebar dan layanan buruk Celcom di Lahad Datu dan sekitarnya menjangkiti pembekal talian tetap telefon iaitu Telekom Malaysia yang gagal memberikan perkhidmatan segera kepada pelanggan yang memerlukan perkhidmatan telefon untuk urusan perniagaan.

“Saya sudah buat aduan sejak 12 April 2010 dan pekerja saya beberapa kali ke Telekom dan ibusawat telekom, tapi sampai hari ini saya tidak dapat menggunakan telefon saya. Mereka janji kosong sahaja; sedangkan saya amat memerlukan perkhidmatan telefon dan faksimili,” ujar Phang Qi Lin, 58, sambil menunjukkan radas telefon yang rosak dan talian yang hanya berdegung.

Menurut Phang, beliau telah menggunakan talian 089-882569 sejak lebih 20 tahun lalu di Ting Unisex Hair and Beauty Salon yang terletak di MDLD 2329, Batu 1, Jalan Dam, 91100 Lahad Datu

“Saya tidak tahu apa lagi mau buat dan terpaksa komplen dengan Sabahkini.net kerana sudah tidak tahan sabar. Pelanggan saya marah kerana gagal menghubungi saya kerana mereka tidak tahu nombor telefon bimbit saya. Saya rugi kerana pelanggan sangka kedai saya tutup,” Phang yang kesal kerana Telekom Malaysia gagal memberikan perkhidmatan terbaik sekalipun beliau adalah pelanggan paling lama di kawasan tersebut.

Sikap personel Telekom Malaysia di Lahad Datu kata Phang, amat memalukan kerana mereka bukan sahaja tidak segera memperbaiki kerosakan malah permintaannya untuk menggantikan radas yang sudah berusia lebih 20 tahun tidak dilayan.

“Pelanggan pun ketawa melihat radas telefon saya yang sudah layak ke Muzium Negara. Kalau ada orang telefon saya terpaksa guna mesin fax untuk jawab tetapi sekarang talian rosak, mereka tidak peduli,” ujar Phang yang kesal kerana tidak ada perkhidmatan talian tetap selain Telekom di Lahad Datu.

Sehubungan itu, Phang berharap agar Telekom segera memperbaiki kerosakan talian dan menggantikan radas telefonnya bagi membolehkan beliau meneruskan perniagaannya yang agak tergendala kerana terputus hubungan dengan pelanggan.

Tiada ulasan: