Isnin, 5 April 2010

Calon Umno lebih sesuai bertanding di Hulu Selangor — Ahmad Naim Tahir

Berita Minggu


Tarikh pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor sudah diketahui kelmarin, menjadikan tumpuan kini terarah kepada siapa yang bakal dinamakan parti bertanding untuk merebut gelaran wakil rakyat baru kawasan itu, 25 April ini. Bagi pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) hampir pasti mengekalkan calonnya berdasarkan kenyataan Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beberapa hari lalu.

Persoalan yang tinggal ialah siapa pula akan dinamakan oleh Barisan Nasional (BN), sama ada terus meletak kepercayaan kepada MIC atau mengembalikan semula kerusi berkenaan kepada Umno.

Proses penamaan calon pilihan raya kecil itu yang pertama di Selangor sejak 8 Mac 2008 diadakan berikutan kematian Datuk Zainal Abidin Ahmad, dijadualkan pada 17 April ini. Hulu Selangor mula ditandingi pada Pilihan Raya Umum (PRU) pertama 1955 yang dimenangi calon Umno, Halimathon Saadiah sebelum calon MCA pula dipertaruhkan mulai PRU 1959 dan bertukar kepada MIC mulai 1986.

MIC kekal bertanding di situ sehingga dianggap kerusi tradisi milik parti diterajui Datuk Seri S. Samy Vellu berkenaan sebelum dimenangi Zainal Abidin pada PRU ke-12, dua tahun lalu.

Tidak hairanlah, Presiden MIC tanpa berlengah mendahului Perdana Menteri merangkap Presiden BN, Datuk Seri Najib Razak menamakan orang kepercayaannya, Datuk G. Palanivel untuk bertanding di situ.

Memang kelayakan, sumbangan dan pengalaman Palanivel sebagai wakil rakyat Hulu Selangor selama empat penggal bermula 1990 tidak dapat dinafikan, tetapi suasana politik sekarang sudah berubah, jauh berbeza berbanding sebelum 2008.

Jika pilihan raya umum dua tahun lalu menyaksikan Palanivel bersama beberapa nama besar dalam MIC, termasuk Samy Vellu kehilangan kerusi, apakah sentimen kebencian terhadap parti itu kini sudah berubah? Dikatakan juga kekalahan BN di kerusi Parlimen berkenaan pada 2008 kerana protes senyap ahli Umno setempat yang sejak sekian lama menuntut kerusi itu dipulangkan semula.

Hulu Selangor mempunyai 64,500 pemilih berdaftar membabitkan 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos. Daripada jumlah itu, 32,380 pengundi adalah lelaki manakala 32,120 wanita. Melayu mewakili pengundi majoriti dengan 34,020 orang atau 52.7 peratus, Cina 16,964 pengundi atau 26.3 peratus dan India diwakili 12,453 pengundi atau 19.3 peratus.

Pada pilihan raya umum lalu, semua tiga kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen itu dimenangi BN dengan Umno menguasai Batang Kali dan Hulu Bernam, manakala MCA di Kuala Kubu Baru. Bagi Umno, Parlimen Hulu Selangor adalah kubu kuat parti dan kepemimpinan bahagian itu sekarang di bawah Datuk Idris Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam, popular di kalangan masyarakat setempat.

Jika taburan pengundi dan sentimen semasa diambil kira, tidak mustahil calon Umno mempunyai peluang lebih besar merampas kembali Hulu Selangor daripada PKR kerana ada ramai calon berpotensi yang boleh diketengahkan.

Bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Ramli Abd Rahman, dilaporkan berkata, eloklah dikembalikan semula kerusi itu kepada Umno selepas lebih 50 tahun parti itu `meminjamkannya kepada MCA dan MIC.

Namun, apakah MIC sedia mengalah dan mendahulukan semangat muafakat dan bertolak ansur dalam BN. MIC juga melaungkan kata-kata sama kepada Umno utamakan semangat muafakat BN kerana tidak rela melepaskan kerusi berkenaan. Bagi penganalisis politik, Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, BN harus bijak merangka strategi, termasuk menoleh kembali apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum 2008 sebelum memilih calon di Hulu Selangor.

Dalam konteks pilihan raya umum lalu, saya tidak yakin MIC mampu menang walaupun kerusi itu dikatakan milik parti berkenaan secara tradisinya, katanya yang juga Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Katanya, MIC perlu bersikap terbuka, sedia berkorban dan sanggup menerima jika ada calon lain yang difikirkan layak oleh pemimpin tertinggi BN untuk bertanding pilihan raya kecil itu nanti.

Tiada ulasan: