Isnin, 5 April 2010

Calon BN Di Hulu Selangor Diumumkan 15 April, Kata Muhyiddin

BERNAMA

SEPANG: Calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor akan diumumkan pada 15 April, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dah putuskan calon terbabit dan memberitahu saya mengenainya, jadi ia akan diumumkan pada 15 April ini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Petronas Malaysia di Litar Sepang, petang ini.

Muhyiddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai calon yang terpilih, dan sama ada calon itu dari kalangan pemimpin tempatan dan sebagainya, bagaimanapun berkata: "Insyallah, ianya boleh diterima oleh rakyat tempatan".

Menyentuh mengenai lawatan sehari Perdana Menteri ke kawasan Parlimen Hulu Selangor semalam, Muhyiddin berkata Perdana Menteri memberitahunya 'mood' penduduk di kawasan Parlimen terbabit nampak bagus dan "nampaknya mood untuk kembali menyokong BN adalah lebih nyata dan jelas."

"Jadi kita mengharapkan akan berlaku perubahan momentum," katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat akibat kanser otak pada 25 Mac lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 April sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 25 April.

Tiada ulasan: