Isnin, 26 April 2010

Calon BN bagi parlimen Sibu diumum esok

MALAYSIA KINI


Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, calon yang bakal mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil parlimen Sibu, akan diumumkan esok.

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, nama calon itu akan diumumkan di Kuching sekembalinya beliau daripada menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya fikir ia bukan lagi rahsia siapakah calon BN untuk pilihan raya kecil
Sibu tetapi saya harus menunggu untuk mendapatkan kebenaran daripada Perdana
Menteri yang juga Pengerusi BN," katanya.

Semalam, menurut Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, parti itu sebulat suara memilih peguam Robert Lau Hui Yew sebagai calon BN.

Katanya, jawatankuasa kerja pusat SUPP bersetuju Robert Lau Junior dipilih sebagai calon pada pilihan raya kecil Sibu kerana beliau merupakan calon terbaik.

Dr Chan, yang juga timbalan ketua menteri berkata sebagai pelan kontinjensi, parti itu juga mempunyai calon pilihan kedua "jika pucuk pimpinan BN berpendapat Hui Yew masih belum mempunyai merit untuk menjadi calon BN.

Hui Yew, 45, atau lebih mesra dikenali sebagai Robert Lau Junior, merupakan sepupu kepada penyandang kerusi Sibu selama lima penggal, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew.

Beliau diuar-uarkan dipilih sebagai calon BN berikutan penyertaan aktif beliau dalam parti dan perwatakannya yang mesra dan mudah didekati, khususnya dalam menyelesaikan masalah penjaja di bandar Sibu.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Dia mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.

Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 Mei sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 16 Mei.

Mengikut daftar yang lalu, Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 52,158 pemilih biasa dan 2,537 pengundi pos, terdiri daripada 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Tiada ulasan: