Ahad, 18 April 2010

Calon Bebas Tarik Undi BN Kepada Pakatan Rakyat

Oleh Faizal Ezzany


KUALA KUBU BAHARU - Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menyifatkan pertandingan empat penjuru pada pilihan raya kecil Hulu Selangor adalah satu kelebihan kepada KEADILAN dalam mengekalkan kerusi di Hulu Selangor.

Beliau yakin dengan kelebihan itu mempu membawa kemenangan kepada Datuk Zaid Ibrahim pada 25 April nanti.

"Saya yakin calon kita akan mendapat lebih sokongan kerana terdapat pecahan undi dalam Barisan Nasional kerana terdapat dua calon bebas yang mana kedua-duanya merupakan dari BN.

"Kedua-dua mereka ini akan menarik undi dari BN dan tidak melibatkan undi untuk KEADILAN, daripada penilaian ini saya berpendapat kita akan mendapat majoriti undi yang lebih besar.

"Saingan pada kali ini tidak setanding, kita boleh lihat Zaid mempunyai kelebihan yang lebih tinggi berbanding calon dari BN mahupun dari Bebas. Selain itu kita melihat sokongan yang rakyat berikan kepada kita semalam diluar jangkaan kita sehinggakan seluruh pekan Kuala Kubu Baharu ditawan oleh penyokong dari Pakatan Rakyat.

"Saya berani cabar yang Zaid dapat memberikan saingan yang besar kepada calon lain dan dapat menarik ramai pengundi untuk memilih calon dari KEADILAN. Prinsip kita lain dengan BN, bila kita menang di sesuatu kawasan kita terus memberi khidmat kepada rakyat tetapi BN lain dan boleh lihat semasa mereka memenangi kawasan ini dulu, mereka tidak berkhidmat untuk rakyat pun," tegas Zuraida yang juga Ketua Wanita KEADILAN Pusat.

Ditanya mengenai serangan peribadi yang Umno-BN akan gunakan seperti saman hudud kepada kerajaan PAS Negeri Kelantan, beliau menyifatkan tindakan yang diambil oleh Umno itu di ibaratkan sebagai membuka pekung sendiri.

"Kalau Umno ingin menggunakan hukum hudud dalam ceramah mereka, ini seolah-oleh membuka pekung sendiri dan mereka sendiri yang akan dapat malu kerana mereka adalah parti orang Melayu dan Islam.

"Sedangkan mereka tahu waktu Zaid membuka kes itu dulu adalah atas dasar Perlembagaan bukannya isu hudud itu sendiri. Kalau mereka masih lagi menggunakan isu hudud ini menunjukkan merekalah yang menjadi dalang kepada kes saman tersebut," jelasnya lagi.

Zuraida juga menjelaskan jentera wanita Pakatan Rakyat telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kempen pilihan raya kali ini.

"Jentera wanita telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kempen pilihan raya yang telah bermula semalam dan kita mempunyai jentera seramai 2,500 orang yang datang dari seluruh negara. Pada hari Jumaat kita sudah melancarkan jentera wanita dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan kerana kesemua jentera wanita ini mempunyai pengalaman dalam mengendali kempen pilihan raya," kata Zuraida lagi.

Tiada ulasan: