Selasa, 13 April 2010

BN terus berjanji, guna taktik lapuk di Hulu Selangor

Hafiz Irwan


KOTA BHARU: Umno-Barisan Nasional (BN) masih menggunakan taktik lapuk sebagai retoriknya dalam menambat hati pengundi menjelang pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim, berkata fenomena itu jelas terbukti apabila sudah ada janji dicurahkan oleh kerajaan BN meskipun kempen pilihan raya belum bermula.

“Mereka (Umno-BN) boleh nafikan bahawa itu bukan janji ataupun kempen, tapi persoalannya kenapa tiba-tiba wujud agenda itu saat menjelang pilihan raya?

“Saya percaya semua rakyat sudah lali dengan taktik-taktik demikian, yang sudah menjadi amalan tradisi di dalam Umno-BN," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan awal Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Hulu, baru-baru yang berjanji akan membina empat buah sekolah baru di kawasan parlimen berkenaan.

Selain itu, Muhyuddin turut berjanji akan memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi mengatasi masalah banjir di Kampung Sentosa.

Sementara itu, mengulas hasrat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang akan menggunakan pendekatan PRK Manek Urai bagi membantu BN di Hulu Selangor, Zaki berkata Umno-BN tidak mudah bebas dari tradisi silamnya, iaitu janji.

Menurut Mustapa strategi di Manek Urai menjadi popular setiap kali berlangsungnya pilihan raya kecil di negara ini, dan berharap strategi itu kali ini sekali lagi dapat dimanfaatkkan bagi memastikan BN menang pada PRK Hulu Selangor.

“Di Manek Urai macam-macam janji sehingga ada projek-projek orang panggil projek ‘mi segera’. Kalau Datuk Pa (Mustapa) kata nak pakai pendekatan Manek Urai, maknanya antara pendekatan itu adalah pendekatan menabur janjilah.

“Mereka (Umno-BN) berjanji akan membina sebuah jambatan baru di Manek Urai dengan nilai jutaan ringgit, memang peti undi situ (Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru) mereka menang, tapi sampai sekarang di mana janji mereka letakkan?”

“Inilah dikatakan retorik, ingin menghambat pengundi Melayu yang majoritinya terdiri dari orang-orang kampung dianggapnya terkebelakang dari kemajuan arus pembangunan,” ujarnya.

Beliau berharap rakyat tidak mudah terkeliru dengan transformasi Umno-BN menjelang PRK berkenaan yang bersifat retorik semata-mata.

Tiada ulasan: