Ahad, 25 April 2010

BN sasar majoriti 6,000 undi, kata Muhyiddin

TERKINI

Oleh G. Manimaran


HULU SELANGOR — Barisan Nasional (BN) meletakkan sasaran petunjuk utama prestasi (KPI) majoriti lebih 6,000 undi dapat dicapai, sekali gus merampas balik kerusi Parlimen Hulu Selangor daripada Pakatan Rakyat hari ini.

Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan pihaknya meletakkan sasaran itu dengan mengambil kira majoriti yang pernah dicapai di peringkat tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam bahagian Parlimen Hulu Selangor dua tahun lalu.

BN menang di ketiga-tiga DUN Hulu Bernama, Kuala Kubu Baru dan Batang Kali dengan majoriti 6,167 undi tetapi tewas kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan perbezaan 168 undi.

Setakat pukul 2 petang tadi kira-kira 63.74 peratus atau 41,112 pengundi sudah pun keluar mengundi.

Pengundian pilihan raya kecil pertama di Selangor sejak Mac 2008 ini ditutup 5 petang ini.

“Saya berharap akan ada margin lebih baik, kami telah menetapkan KPI sendiri, telah meminta pekerja kami di peti undi masing...

“Bagi setiap peti undi, kita tetapkan kita punya KPI. KPI yang kita tetapkan ikut berdasarkan pada keputusan pilihan raya (umum) lalu, di mana di peringkat Parlimen katakan kita dapat undi sekian, tetapi di peringkat Dewan Undangan Negeri kita ada margin yang besar. Jadi, itu adalah KPI yang telah kita tetapkan.

“KPI saya untuk ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri, seharusnya menggambarkan... katakan kita pernah capai 6,000 undi, dan di Parlimen kita kalah 198. Jadi, KPI ialah adakah kita boleh naikkan, mudah sahaja.

“Itu ada sasaran. Apa pun kita tengoklah,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru di sini ketika proses pengundian pilihan raya kecil ini sedang berlangsung.

Ketika ditanya faktor meletakkan KPI majoriti 6,000 undi, Muhyiddin (gambar) berkata, beliau hendak meletakkan satu paras yang tinggi agar jentera BN dapat bekerja keras untuk mencapai kemenangan.

“Kita mesti ada sasaran,” kata Muhyiddin sambil menambah, ia adalah atas pertimbangan beliau.

“Saya sudah turun ke bawah tadi, satu peti undi contoh... dulu kita dapat dapat 100 undi lebih sahaja, majoriti. Kali ini 300. Sudah keluar sekarang... sudah boleh baca,” katanya.

“Itu satu peti undi contoh,” katanya.

Muhyiddin yang diberikan tanggungjawab menyeluruh menyelia jentera BN berharap jika trend itu berterusan BN akan menang dan mencapai majoriti lebih besar.

“Saya tidak mahu orang kata saya bersikap optimistik ataupun sombong... bila keluar berita ini, orang tak mahu keluar mengundi.

“Tetapi saya mahukan kemenangan,” kata beliau.

Kempen lapan hari pilihan raya kecil berakhir malam tadi dengan persaingan satu lawan satu membabitkan calon BN P. Kamalanathan dan calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.

Tiada ulasan: