Jumaat, 23 April 2010

BN gertak Orang Asli jika undi PKR


tan yee kew Oleh Muda Mohd Noor


KUALA KUBU BARU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Ketua-Ketua Orang Asli menerima RM20,000 dari Umno-Barisan Nasional untuk membiayai aktiviti di perkampungan mereka sepanjang kempen pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew berkata, bagaimanapun pihaknya tidak mempunyai bukti terhadap perkara itu.

"Belum ada bukti tetapi inilah aduan yang kami terima daripada masyarakat Orang Asli," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dr Tan juga mendakwa pemimpin Umno mengugut pengundi Orang Asli dengan kata-kata jika jika Pakatan Rakyat menang, bayaran hospital akan dikenakan kepada masyarakat Orang Asli.

Ini menyebabkan Orang Asli khuatir untuk mengundi calon PKR Dato’ Zaid Ibrahim, tambahnya.

"Saya juga mendapat tahu Orang Asli telah diberi baju T berwarna merah yang ada tulisan 1 Malaysia.

"Kami telah mengambil gambar Orang Asli berbaris untuk mengambil baju berkenaan," katanya.

Kampong Orang Asli aman, polis tidak perlu

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan kehadiran anggota polis di perkampungan Orang Asli di Hulu Selangor.

"Untuk apa, polis membina khemah di perkampungan Orang Asli? Orang Asli takut dengan kehadiran polis. Mereka (polis) mahu menakut-nakutkan Orang Asli yang menyokong Pakatan Rakyat.

"Kami menerima aduan dari penduduk Orang Asli dari Kampung Ulu Melaka di Serendah dan Kampung Tun Razak di Kuala Kubu Baru mengenai perkara itu.

"Anggota polis hanya diperlukan di bandar, kampung Orang Asli aman," katanya.

Sementara itu, tinjauan yang dbuat oleh Free Malaysia Today di perkampungan Orang Asli di Kampung Tun Razak di sini mendapati ada sebuah khemah yang menempatkan seorang dua anggota polis.

Kami juga melihat ramai penduduk memakai baju T berwarna merah sedang berkumpul di kampung itu. Ketika ditanya di mana dapat baju berkenaan, seorang pemuda memberitahu, "orang beri."

"Ramai orang dapat, kawan-kawan saya dapat juga," katanya lagi.

Tiada ulasan: