Selasa, 13 April 2010

Bekas SU Umno Wangsa Maju bebas tuduhan rasuah

BERNAMA



Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepaskan dan membebaskan bekas setiausaha Umno bahagian Wangsa Maju daripada tuduhan memberi rasuah kepada ketua cawangan Taman Melati dua tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Arifin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ramli Abdul Manan, 51.

Ramli
didakwa memberikan wang suapan RM1,000 kepada Amir Saad, 51, di Dewan Pusat Aktiviti Masyarakat Taman Melati Kawasan 8, Setapak jam 9 malam, 5 Ogos 2008 sebagai dorongan bagi membolehkan beliau dicalonkan untuk layak bertanding jawatan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Wangsa Maju pada 8 November 2008.

Ramli didakwa mengikut seksyen 10(b)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara sekurang-kurangnya 14 hari dan tidak melebihi 20 tahun penjara dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Fadzillah Osman manakala peguam Abdul Latiff Ahmad mewakili Ramli.


Tiada ulasan: