Rabu, 14 April 2010

Bayi Meninggal Dunia Tercekik Bebola Ikan

BERNAMA

TAMPIN: Seorang bayi lelaki berusia sepuluh bulan meninggal dunia akibat tercekik bebola ikan ketika makan di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Jalan Cantik di sini hari ini.

Bayi itu, Wan Nur Alif Wan Arif Fadhla dikatakan tercekik bebola ikan semasa menikmati sarapan pagi pada kira-kira pukul 9 pagi bersama kanak-kanak lain yang disediakan oleh pengasuh pusat asuhan berkenaan.

Bapa bayi itu, Wan Arif Fadhla Wan Yusof, 41, berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada isterinya pada kira-kira pukul 11.15 pagi, memberitahu anaknya dihantar ke Hospital Tampil selepas dikatakan terjatuh.

"Sebaik tiba di hospital berkenaan, pihak hospital memaklumkan bahawa anak saya telah meninggal dunia akibat tercekik bebola ikan. Saya berasa amat kesal di atas sikap kecuaian pihak pengasuh," kata Pegawai Penerangan Daerah Rembau itu.

Katanya, beliau telah melaporkan kejadian itu di Balai Polis Tampin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Supritendan Wooi Hooi Cheng ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan yang dibuat oleh bapa kanak-kanak itu.

Katanya, pihak polis telah membuka kertas siasatan dan akan memanggil pengusaha pusat asuhan itu untuk memberi keterangan.

Tiada ulasan: