Isnin, 5 April 2010

APCO: PAS serah memo, mahu Majlis Raja-raja campur tangan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Ahli-ahli Parlimen PAS akan menyerahkan memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu bagi meminta agar campur tangan memastikan kerajaan tidak lagi bergantung pada khidmat APCO Worldwide, yang didakwa memberi nasihat kepada Perdana Menteri berhubung 1 Malaysia.

Syarikat itu juga didakwa turut memberikan nasihat kepada kerajaan Israel pimpinan Ehud Barak pada 1999 berhubung slogan One Israel.

Memorandum akan diserahkan di Istana Negara kira-kira 12.30 tengah hari ini.

“Kami akan menyerahkan memorandum kepada Majlis Raja-raja meminta agar campur bagi memastikan APCO Worldwide tidak lagi menyediakan khidmat kepada kerajaan pusat,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

“Usaha menyerahkan memorandum ini hanya membabitkan wakil rakyat PAS... mungkin wakil rakyat DAP dan PKR kemudian hari,” katanya.

PAS, DAP dan PKR merupakan komponen Pakatan Rakyat.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena pihaknya memutuskan untuk memorandum meminta campur tangan Majlis Raja-raja Melayu sebagai pembabitan APCO dalam pentabiran negara membabitkan isu keselamatan dan pertahanan.

Minggu lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata kerajaan akan mengemukakan usul merujuk Ahli Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung isu APCO yang menjadi polemik di Dewan Rakyat sejak 17 Mac lepas.

Nazri berkata ini kerana ketua pembangkang itu gagal menjelaskan dakwaannya bahawa gagasan 1Malaysia ditiru daripada “One Israel” yang dikaitkan dengan APCO Worldwide.

Beliau berkata Anwar gagal menjelaskan dakwaannya selepas beliau diberi tempoh seminggu untuk berbuat demikian pada Selasa lepas.

Pada 22 Mac lepas, Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) membangkitkan isu percanggahan kenyataan Anwar mengenai gagasan 1Malaysia ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Anwar, pada 2009 APCO Worldwide memberikan nasihat kepada Perdana Menteri berhubung 1Malaysia selain mendakwa syarikat sama memberikan nasihat kepada kerajaan Israel pimpinan Ehud Barak pada 1999 berhubung slogan One Israel.

Tiada ulasan: