Rabu, 7 April 2010

Apco: Kerajaan ketepi pandangan rakyat

Dzulfikar Mashoor


SHAH ALAM: Tindakan segelintir Ahli Parlimen Umno/BN mempertahankan perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan firma perundingan antarabangsa Apco Worldwide menghairankan di samping mengetepikan pandangan rakyat, kata Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar (gambar).

Baginya, rasa hairan tersebut timbul kerana kerajaan seolah-olah mengetepikan pandangan rakyat umum yang mengatakan Apco itu pro zionis-Israel.

"Ini yang paling menghairankan kita (di kalangan) Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (dan) rakyat umumnya (kerana) dalam kes Apco yang dikaitkan dengan zionis-Israel antarabangsa.

"(Kerajaan) tidak bertolak ansur dengan bukti-bukti yang didedahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, apatah lagi untuk tarik balik," kata beliau dalam suatu ceramah politik di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Kewangan Negara (PAC) berkata, walhal kerajaan masih boleh bertolak-ansur dalam cadangan menarik semula subsidi minyak, isu royalti minyak di Kelantan dan Terengganu serta cadangan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebelum ini.

"Kerajaan boleh bertolak ansur dalam (dan) ditarik balik (tangguhkan) GST apabila kita (Ahli Parlimen Pakatan Rakyat) dan rakyat bantah, begitu juga dengan subsidi (minyak), tetapi isu Apco ini tidak.

"Begitu juga dalam tuntutan royalti minyak, walaupun kerajaan tetap menafikan hak kerajaan negeri untuk mendapatkan royalti, kerajaan tetap beri 'wang ehsan' walaupun kita (Pakatan Rakyat) tak iktiraf pemberian tersebut, supaya rakyat tidak anggap kerajaan mengetepikan tuntutan mereka," ujarnya.

Bercakap pada pentas yang sama di Dewan MBSA Syeksyen 17, Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam berkata, rakyat perlu mengambil iktibar daripada kuasa rakyat dalam mengkritik secara terbuka ke atas cadangan kerajaan untuk melaksanakan GST, tarik subsidi minyak dan penafian hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan royalti minyak.

Tambahnya lagi, kerajaan sebenarnya sudah berana dalam keadaan paling lemah berdasarkan amalan 'flip-flop' dalam ketiga-tiga isu tersebut.

Sehubungan itu, rakyat, penyokong Pakatan Rakyat dan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat diajak terus berpadu dan menterjemahkan kritikan terhadap kerajaan dalam isu Apco tersebut dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor tidak lama lagi.

Turut menyertai Kamaruddin dan Khalid antaranya ialah Saifuddin Nasution Ismail (Ahli Parlimen Machang merangkap Setiausaha Agung PKR) dan Haji Azli Haji Yusof (Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam).

Tiada ulasan: