Ahad, 18 April 2010

Ahli Umno, MIC Tentang Parti Sendiri, Pakatan Rakyat Tetap Utuh

Oleh Fazli Othman


KUALA KUBU BAHARU - Umno-Barisan Nasional kini menghadapi krisis kepercayaan amat kritikal apabila ahli Umno dan MIC bertindak menjadi calon Bebas menentang calon BN sendiri dan sekaligus meranapkan 'kekebalan' semangat 1Malaysia yang diagung-agungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail berkata kehadiran dua calon Bebas sebagai memanfaatkan ruang demokrasi dan bukan ancaman serius terhadap Pakatan Rakyat.

Apabila ditanya mengenai status calon Bebas yang terdiri daripada kalangan ahli Umno dan MIC, Saifuddin berkata calon bebas dari Umno mewakili kalangan akar umbi Umno yang kecewa apabila pucuk pimpinan mengabaikan tuntutan mereka agar meletakkan calon daripada Umno.

Oleh yang demikian kata Ahli Parlimen Machang itu mereka meletakkan calon Bebas manakala Chandran pula yang merupakan pimpinan MIC Hulu Selangor mengesahkan porak-peranda dalam rumah tangga MIC itu sendiri.

"Kemunculan dua calon bebas ini tidak sama sekali mengalih fokus dan tumpuan KEADILAN dan Pakatan Rakyat untuk meneruskan strategi yang telah kita susun untuk menemui pengundi seramai mana yang dapat dalam tempoh kempen sembilan hari ini.

"Mesej kita kepada pengundi Hulu Selangor sangat konsisten, pertamanya, kejayaaan Pakatan Rakyat yang memerintah negeri Selangor, keduanya dengan 'tagline' yang kita bawa iaitu 'Selamatkan Malaysia' daripada pencemaran, soal pelanggaran prinsip demokrasi, rosaknya sistem kehakiman, institusi media yang berat sebelah, pemborosan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Setakat KEADILAN lawan dua calon Bebas dan satu calon BN, itu tidak akan menjejaskan tumpuan kita untuk menang dalam pilihan raya kali ini," jelas Saifuddin pada sidang media di pusat media Pakatan Rakyat di sini semalam.


Tiada ulasan: