Khamis, 15 April 2010

Adun S'gor boleh dilantik lembaga pengarah syarikat

BERNAMA



Persidangan dewan undangan negeri Selangor meluluskan usul supaya sekurang-kurangnya seorang ahli dewan undangan negeri (Adun) dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dalam 73 buah syarikat milik kerajaan negeri itu.

Cadangan itu dibawa oleh Shaari Sungib (PAS-Hulu Klang) dengan tujuan memastikan setiap anak syarikat kerajaan negeri diurus dengan mengamalkan dasar pro-rakyat.

Selain itu, dewan juga meluluskan usul supaya setiap syarikat yang membuat keuntungan membayar dividen setiap tahun kepada kerajaan negeri dan memastikan syarikat yang tidak membayar dividen tahunan kepada kerajaan negeri mengemukakan penyata perbelanjaan mereka kepada dewan.

Usul itu juga memastikan tiada syarikat membayar bonus tanpa mematuhi dasar yang ditetapkan dan pembayaran mesti mendapat kelulusan pihak Lembaga Pengarah dan pihak berkuasa negeri.

Sementara itu, Datuk Subahan Kamal (BN-Taman Templer), semasa membahaskan usul itu, berkata diharap Adun Barisan Nasional (BN) juga diberi peluang menjadi ahli lembaga pengarah dalam syarikat milik kerajaan negeri.

Ini adalah kerana Selangor mempunyai seramai 56 orang Adun di mana 20 Adun adalah dari BN bagi mengisi ahli lembaga pengarah di 73 syarikat kerajaan negeri, katanya.

Bercakap kepada pemberita di luar dewan, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula berkata: "Kalau GLC (syarikat berkaitan kerajaan) bagi pada ahli Parlimen di sana saya bagi di sini."

Katanya sebenarnya syarikat kerajaan negeri tidaklah sebesar syarikat GLC di peringkat persekutuan dan tidak memerlukan banyak pemantauan.

"Bagaimanapun, ada baiknya kita tempatkan Adun yang layak supaya dia dapat mengikuti dan memantau perjalanan syarikat, "katanya.

Katanya tidak semua Adun Pakatan Rakyat berpeluang menjadi ahli lembaga pengarah kerana mereka akan dipilih berdasarkan kelayakan dan masa yang boleh diluangkan mereka.


Tiada ulasan: