Rabu, 14 April 2010

ADUN Lenggeng bebas tuduhan rasuah

BERNAMA



Anggota dewan undangan negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Seremban daripada tiga tuduhan rasuah.

Hakim Amran Jantan membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Beliau berkata keterangan menunjukkan pengadu tidak pasti sama ada beliau memperoleh permit pasir setelah menerima surat sokongan daripada Mustafa.

Mustafa, 52, dituduh kerana menerima suapan RM3,000 daripada M.Manimaran melalui Mustafa Pendek di Lot 1321, Mukim Pantai di Seremban pada 28 Ogos 2008, jam 11 pagi, sebagai balasan mengeluarkan surat sokongan untuk Manimaran bagi mendapatkan permit menjual pasir.

Beliau juga dituduh menerima RM2,000 daripada Manimaran untuk tujuan yang sama di Jahrin Maju Restaurant, Taman Bunga Raya 2, Mantin, pada pukul 5 petang, 31 Ogos, 2008.

Bagi tuduhan ketiga, beliau didakwa meminta RM2,000 daripada Manimaran di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan di Jalan Datuk Klana Ma'amor, pada 30 Ogos, 2008, pukul 9.05 malam.

Mustafa didakwa mengikut Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum Seksyen 16 di bawah Akta Undang-Undang Malaysia (Akta 575) yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM negeri Feza Fazlin Fandi sementara Mustafa diwakili peguam Feisal Mustapha dan Datuk Taqiyuddin Yahya.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Mustafa berkata beliau sangat bersyukur dengan keputusan mahkamah itu.

"Sebagai wakil rakyat saya akan teruskan kerja saya selepas ini. Saya masih banyak lagi kerja yang perlu dilaksanakan. Ini adalah tanggungjawab saya sebagai ADUN kawasan saya," katanya dengan disertai kira-kira 40 orang penyokongnya yang mengucapkan tahniah kepada beliau.

Mustafa berharap masyarakat di Dewan Undangan Negeri Lenggeng akan terus memberikan sokongan kepada beliau.


Tiada ulasan: