Jumaat, 16 April 2010

Abang Teoh Beng Hock Fail Usul Mohamed Nazri Dikenakan Tindakan Hina Mahkamah

BERNAMA

SHAH ALAM: Teoh Meng Kee, abang kepada mendiang Teoh Beng Hock hari ini memfailkan notis usul agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dipenjarakan bagi kesalahan menghina mahkamah berhubung kenyataannya yang mendakwa pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand "pembohong".

Notis usul itu difailkan melalui firma guaman Karpal Singh & Co di pejabat pendaftar Mahkamah Majistret di sini pada pukul 11.30 pagi.

Permohonan itu dibuat mengikut Perkara 26 Akta Mahkamah-mahkamah Rendah 1948.

Dalam afidavit yang diikrarkan untuk menyokong permohonan itu, Meng Kee, 34, menyatakan Mohamed Nazri pada 11 April lepas memberi kenyataan di media elektronik berkenaan dengan keterangan Dr Pornthip dalam prosiding inkues kematian adiknya iaitu: "She is a liar! She lied in the inquest."

Mohamed Nazri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pakar patologi itu sebelum ini bahawa beliau tidak akan hadir memberi keterangan pada inkues yang akan disambung pada 20 April ini kerana menerima 'tekanan politik' daripada sesetengah pihak.

Meng Kee mendakwa Mohamed Nazri telah secara awamnya menuduh pakar patologi itu menipu berkenaan dengan keterangan yang diberi semasa inkues dan akan dipanggil semula untuk memberi keterangan lanjutan, selain daripada menuduh Dr Pornthip menipu selepas bersumpah.

Beliau mendakwa tindakan itu terkandung dalam kesalahan jenayah yang serius kerana ia merupakan 'penghakiman yang dibuat terlebih dahulu' ke atas isu yang akan diputuskan oleh koroner dan bukan oleh mana-mana pihak lain.

Meng Kee mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohamed Nazri mempunyai 'kecenderungan untuk mencampuri pentadbiran kehakiman', mengakibatkan penghinaan yang serius ke atas mahkamah dan sehubungan itu Mohamed Nazri harus dipenjarakan.

Karpal Singh ketika ditemui pemberita selepas memfailkan notis itu berkata Mahkamah Koroner akan mendengar permohonan untuk penangguhan prosiding inkues pada 20 April ini dan seterusnya mendengar permohonan notis usul itu.

Semalam, kerajaan Selangor melalui peguamnya, Malik Imtiaz Sarwar memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding inkues yang dijadualkan disambung pada 20 April ini.

Permohonan itu dibuat bagi meminta lebih masa untuk memastikan keselamatan Dr Pornthip terjamin sebelum beliau hadir memberi keterangan pada inkues.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lepas di tingkat lima, Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Selangor yang terletak di bangunan sama.

Tiada ulasan: