Jumaat, 30 April 2010

65 Jemaah Umrah Dari Langkawi Dakwa Ditipu

BERNAMA

LANGKAWI: Hasrat 65 jemaah Langkawi untuk menunaikan umrah ke Mekah tidak kesampaian, apabila sebuah syarikat pelancongan yang beribu pejabat di Sungai Buloh, Selangor yang menawarkan pakej itu didapati 'ghaib'.

Wakil kumpulan jemaah, Zinuddin Mahmud, 48, berkata, mereka menyedari ditipu apabila syarikat terbabit gagal menyediakan penerbangan yang dijadual berlepas pukul 3 petang semalam dari Kuala Lumpur seperti yang dijanjikan.

Katanya, pelbagai alasan diberi oleh wakil syarikat berikutan dengan penerbangan yang beberapa kali telah ditunda sejak 23 April lepas.

"Semua 65 jemaah Langkawi yang terkandas, telah pulang ke Langkawi malam tadi dan hari ini," katanya di sini hari ini.Katanya, setiap jemaah itu hanya dikenakan RM2,500 untuk menunaikan umrah manakala baki kos kononnya akan ditaja oleh pihak tertentu.

Zinuddin berkata, syarikat berkenaan juga didapati tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan kumpulan terbabit telah membuat laporan polis di Langkawi untuk tindakan lanjut.

Tiada ulasan: