Jumaat, 16 April 2010

24 pelajar SBPI Kuantan disahkan mengalami simptom H1N1

UTUSAN ONLINE

KUANTAN - Seramai 24 pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kuantan hari ini disahkan mengalami demam dan selesema yang menyamai simptom Influenza A atau H1N1.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, sebaik disahkan mempunyai simptom yang menyamai H1N1, pihak sekolah segera mengambil beberapa langkah-langkah pencegahan.

Bagaimanapun, kata beliau, sesi pembelajaran di sekolah tersebut berjalan seperti biasa.

''Selain diberi rawatan antiviral sebagai langkah pencegahan awal, semua mereka kini dikuarantin di bilik asrama sekolah berkenaan.

''Bagaimanapun, sampel darah setiap pelajar yang disyaki dijangkiti virus berkenaan telah diambil dan dihantar ke makmal di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk diuji," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Khai Mun, pelajar lain yang tidak dijangkiti virus H1N1 meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.

Sementara itu, tegas beliau, pihaknya menasihati ibu bapa supaya tidak panik kerana persekitaran sekolah berkenaan sentiasa terkawal.

''Jabatan Kesihatan sentiasa membuat pemantauan bagi mengawal virus itu supaya tidak merebak," jelasnya.

Dalam pada itu, tambahnya, sehingga kini tiada kes H1N1 dilaporkan di negeri ini melainkan 57 kes penyakit yang menyamai influenza (ILI) sahaja direkodkan.

Tiada ulasan: