Jumaat, 9 April 2010

1,200 pelatih PLKN dihantar pulang

PADANG BESAR - Sebanyak 1,200 pelatih kumpulan kedua Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dihantar pulang kerana mengalami masalah kesihatan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, kebanyakan pelatih tersebut mempunyai rekod pembedahan dan penyakit asma yang kronik.

"Walaupun mereka tidak perlu mengikuti program ini namun ada ibu bapa yang memohon supaya anak- anak mereka diterima masuk dengan pengecualian untuk mengikuti latihan fizikal tetapi ia tidak memenuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pelatih PLKN Kumpulan 2 Siri 7 2010 di Kem Tasik Meranti di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, JLKN mengawasi dengan rapi kesihatan setiap pelatih terutama yang mengalami demam berikutan wujudnya simptom penyakit serupa Influenza (ILI).

"Kami akan pastikan setiap pelajar yang demam walaupun demam biasa mendapat rawatan segera," katanya.

Baru-baru ini sebanyak 40 pelatih program kedua PLKN di kem Gua Musang, Kelantan dikuarantin berikutan wujudnya simptom ILI dikalangan pelatih berkenaan.

Sementara itu, pada masa ini sebanyak 3,922 pelatih program kedua PLKN sedang menjalani latihan di seluruh negara mulai 15 Mac lalu.

Abdul Hadi memuji pelatih kumpulan kedua PLKN yang sentiasa bersemangat dan ceria mengikuti latihan sejak tiga minggu lalu.

"Jika dibandingkan dengan kumpulan pelatih yang lalu, kumpulan pelatih kali ini sentiasa bersedia malah ibu bapa mereka turut memberi sokongan penuh kepada anak-anak untuk mengikuti latihan," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi memberitahu, sebanyak 40 alumni PLKN akan berkhidmat sebagai sukarelawan semasa Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia 2010 (DSA 2010) yang akan diadakan di ibu negara pada 19 hingga 22 April ini.

"Mereka akan mengiringi orang- orang kenamaan seperti Menteri Pertahanan dan Komander Pertahanan dari luar negara ke gerai-gerai pameran," katanya.

Menurut beliau, DSA merupakan peluang kepada alumni PLKN untuk mendapat pendedahan mengenai industri pertahanan.

Tiada ulasan: