Selasa, 13 April 2010

10 borang penamaan calon dijual

Oleh Era Pakatan


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor mengadakan program semakan daftar pemilih untuk memudahkan pengundi bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor menyemak maklumat mengenai daftar pemilih serta tempat mengundi.

Pengarah Pilihan Raya negeri, Dzulkifli Ab. Rahman berkata program itu diadakan di Kampung Melayu Rasa dan Kampung Pasir/Kerling, Batang Kali hari ini; Kampung Sentosa dan Kampung Pasir/Ulu Yam, Batang Kali esok dan di Pekan Kuala Kubu Bharu dan Kampung Kelapa, Kuala Kubu Bharu pada Khamis.

Kawasan Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,550 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Dalam perkembangan lain, Dzulkifli berkata sebanyak 10 borang penamaan calon dijual kepada ejen atau wakil calon yang berhasrat bertanding pilihan raya kecil yang ditetapkan pada 25 April ini.

"Borang penamaan calon pilihan raya kecil Hulu Selangor dijual di dua pusat, Pejabat Pilihan Raya Negeri di sini dan Pejabat Pengurus, Pejabat Daerah Hulu Selangor. Ada juga yang membeli dua hingga tiga borang penamaan calon dari kedua-dua pusat ini," katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini.

Penamaan calon pilihan raya kecil itu akan diadakan Sabtu ini di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor.

Dzulkifli berkata sebanyak 46 buah sekolah dan sebuah dewan orang ramai dengan 136 saluran mengundi serta 1,370 petugas terlibat dalam pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.- BERNAMA

Tiada ulasan: