Selasa, 9 Mac 2010

'Zul boleh mohon, tapi terpulang pada PAS'

Abdul Rahim Sabri



Ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin boleh mengemukakan permohonan untuk kembali kepada PAS, tetapi terpulang kepada parti itu sama ada mahu menerimanya atau tidak, kata Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hasan .

Pada asasnya, kata beliau, sesiapa sahaja boleh memohon untuk menyertai PAS, tetapi keputusan muktamad adalah di tangan pucuk pimpinan parti.

Menurutnya, ini selaras dengan dasar keterbukaan yang diamalkan oleh parti Islam itu.

Nasrudin (kiri) menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa pemimpin kanan PAS yang tidak bersetuju parti itu menerima semula Zulkifli.

Pemimpin berkenaan termasuklah tiga naib presiden PAS - Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Mat.

Soal setiakawan dalam Pakatan Rakyat menjadi alasan utama penolakan mereka itu.

Turut menentang kemasukan semula Zulkifli dalam PAS ialah dua ahli jawatankuasa pusatnya - Mohamed Hanipa Maidin dan Dr Hatta Ramli.

Sebelum ini, dalam temubualnya dengan Malaysiakini, setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali juga tidak bersetuju jika parti itu menerima semula Zulkifli.

Semalam dilaporkan Zulkifli - yang dipecat dari PKR hujung minggu lalu - mahu mengkaji dengan serius kemungkinan untuk kembali semula ke pangkuan parti itu.

PKR membuat keputusan untuk memecat Zulkifli ekoran tindakannya membuat laporan polis ke atas yang dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad dan kenyataannya dalam sebuah wawancara di TV3 sebelum ini, antaranya berbentuk serangan terhadap dasar dan pendirian parti serta kemampuan Pakatan Rakyat.

Beliau diminta mengosongkan kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata keputusan untuk menerima sebarang permohonan keahlian bergantung kepada latarbelakang, rekod prestasi, kesan positif dan negatif terhadap parti.

"Selepas itu, barulah keputusan dibuat sama ada untuk menerima atau menolak permohonan berkenaan," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan Zulkifli menyertai Umno ekoran tindak-tanduknya yang didakwa senada dengan parti itu, Nasrudin berkata:

"Pada pandangan saya, Zulkilfli lebih baik menjadi wakil rakyat bebas. Dalam masa 'edah' ini, beliau boleh muhasabah diri dan membuat penelitian semula tentang sikap politik beliau.

"Tidak mustahil Zulkilfli akan kembali. Ada masanya kesilapan yang dilakukan boleh diperbetulkan dan mereka (pucuk pimpinan) boleh menerima kesilapan," katanya.

Sementara itu, Salahudin Ayub ketika dihubungi Malaysiakini pula berkata "tidak mungkin" PAS akan menerima kembali Zulkilfli ke dalam PAS.

"PAS tahu siapa Zulkilfli Nordin yang sebenarnya," tegasnya sambil menambah Zulkilfli digugurkan sebagai ahli kerana memilih PKR sebagai wadah politiknya.

Salahudin berkata sebelum ini Zulkilfli pernah memegang jawatan sebagai yang dipertua kawasan Bandar Tun Razak.

Menurut Salahudin, beliau berpendirian demikian kerana menghormati semangat setiakawan yang terjalin bersama PKR dalam Pakatan Rakyat.

Sementara itu, ahli majlis syura Ulama PAS, Ahmad Awang menasihatkan pucuk pimpinan parti agar "tidak melayan" permohonan Zulkifli.

Ahmad mendakwa Zulkifli "banyak menimbulkan masalah" termasuk melanggar keputusan parti (PAS) yang melarang beliau bertanding dalam pilihan raya pada tahun 2004.

"Saya rasa hampir semua pimpinan PAS tidak boleh menerimanya.... Saya rasa beliau (Zulkifli) sendiri pun tidak tergamak untuk memohon," katanya.

Ditanya sama ada Zulkifli layak untuk menyertai Umno, Ahmad berkata perkara itu terpulanglah kepada Umno.

Tiada ulasan: