Sabtu, 6 Mac 2010

Wee, Chew tinggalkan mesyuarat CC MCA

MALAYSIA KINI


Ketua pergerakan Pemuda dan Wanita MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Datin Paduka Chew Mei Fun bertindak keluar dari mesyuarat jawatankuasa pusat (CC) yang diadakan di Wisma MCA, Kuala Lumpur dan ketika ini sedang mengadakan sidang akhbar.

Kedua-dua mereka menghadiri mesyuarat CC yang dijadualkan bagi melantik penyelaras bagi pemilihan barisan pemimpin baru parti itu.

Menurut Wee, CC mengambil keputusan untuk mengadakan pemilihan baru pada 28 Mac ini.

Tambahnya lagi, CC berkeras mesyauarat agung tahunan (AGM) yang dijadualkan Ahad ini diteruskan seperti yang dirancang.

Wee dan Chew juga membantah tindakan CC yang mahukan pemilihan semula Ahli Jawatankuasa Pemuda dan Wanita perlu dijalankan semula.

Keputusan berkenaan menyaksikan kedua-dua pemimpin berkenaan bertindak keluar dari mesyuarat.

Pagi tadi, Pemuda MCA mengambil keputusan untuk menangguhkan mesyuarat agung tahunannya (AGM) yang diadualkan esok berikutan perletakan beramai-ramai 21 anggota jawatankuasa pusat (CC) parti itu semalam.

Perletakan jawatan dua pertiga CC itu memaksa parti itu mengadakan pemilihan baru barisan kepemimpinan MCA dalam tempoh 30 hari.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata berdasarkan perkembangan terbaru badan induk itu, adalah lebih baik AGM sayap pemuda ditangguh.

Wee berkata beliau sudah menemui setiausaha agung parti Datuk Wong Foon Meng semalam, namun Wong tidak dapat mengesahkan sekiranya AGM Ahad ini akan diteruskan.

"Sehingga pagi ini masih tidak ada pengesahkan, kami buat pertimbangan khusus setelah berbincang panjang lebar dan ambil keputusan untuk tunda AGM Pemuda MCA," katanya.

Wee seterusnya menasihatkan perwakilan yang masih belum tiba di ibu negara untuk perhimpunan itu supaya menukar rancangan mereka, namun menurutnya kemudahan tetap disediakan bagi mereka yang sudah tiba di ibu kota.

Wee berkata majlis makan malam sambutan ulang tahun MCA yang dirancang esok, bagaimanapun tidak dibatalkan.

Dalam pada itu, pergerakan wanita MCA juga mengumumkan akan menangguhkan AGM mereka esok.

Pengumuman dibuat oleh Ketua Wanitanya, Datuk Paduka Chew Mei Fun pada sidang media berasingan yang mendakwa penangguhan
itu dibuat dengan persetujuan majoriti.

Bagaimanapun menurutnya sambutan Hari Antarabangsa Wanita malam ini akan diteruskan seperti yang dirancang.

Namun tumpuan umum ialah mesyuarat CC pada jam 1 petang ini untuk menentukan sama ada AGM kebangsaan yang dijadualkan sehari selepas mesyuarat Pemuda dan Wanita perlu dibatalkan.

Semalam, 21 CC parti itu, termasuk timbalan presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan naib presiden, Datuk seri Liow Tiong Lai meletakkan jawatan mereka hari ini bagi memaksa pemilihan pucuk pimpinan baru parti diadakan.

Tiada ulasan: