Jumaat, 5 Mac 2010

Wawancara Dr Mariah: Persepsi negatif peranan wanita dalam PAS

DETIK DAILY

Sebelum ini PAS, dan juga gerakan Islam lainnya, sering dituduh meminggirkan wanita. Dakwaan itu tentunya tidak berasas, namun persepsi masyarakat, sukar diperbetul terutama sekali apabila wujud senario yang seolah-olah membenarkan tohmahan itu.

Wartawan Kanan SAIDAH HAIRAN cuba menyelami pandangan Pengarah Pilihan raya Muslimat PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, dalam satu wawancara di rumahnya di Paya Jaras, Sungai Buloh, baru-baru ini.

Dr Mariah memang terkenal dengan pandangannya yang kritikal dan berterus-terang. Beliau mengakui sebahagian tanggapan negatif itu berpunca daripada sikap muslimat dalam PAS sendiri. Baginya, ia mesti diperbetulkan segera.

HARAKAH: Sebagai Pengarah Pilihan Raya Muslimat PAS, sudah tentu Dr bertanggunjawab besar memastikan jentera Muslimat bergerak bagi meraih bukan saja sokongan undi wanita tetapi juga lelaki. Sebagai ahli Parlimen bagaimana Dr menggalas tanggungjawab ini?

DR MARIAH: Muslimat tidak bekerja sendirian. Kita ada Dewan Muslimat, Jabatan Pilihan Raya negeri-negeri dan peringkat kawasan. Jabatan Pilihan Raya (JPP) peringkat Pusat buat dasar dan garis panduan, tetapi banyak gerak kerja bergantung kepada senario tempatan. Kita harus berganding bahu dan bekerjasama rapat.

Namun peranan yang penting baik di peringkat Dewan Muslimat atau JPP, adalah untuk memastikan muslimat yang layak dan berwibawa dipilih sebagai calon. Kita menekankan kepentingan muslimat sebagai calon. Kita minta sejak tahun 2004 di mana setiap negeri perlu menyediakan calon untuk diletakkan sebagai Adun dan ahli Parlimen.

Alhamdulillah, di sesetengah negeri permintaan ini dapat dicapai dan sesetengah negeri belum dapat dicapai. Pada masa sama kita minta Ketua Muslimat menyenaraikan calon nuslimat yang berpotensi kerana mereka perlu diberi pendedahan dan latihan. Perkembangannya agak mengecewakan apabila senarai itu tidak sampai kepada Dewan Muslimat, walaupun pada awalnya mereka mengatakan ada calon.

Kita perlu fikir dan pilih calon yang sesuai. Ini penting. Misalnya di Kelantan, apabila saya turun kawasan yang menang, saya mengatakan wakil rakyat Muslimat Kelantan, iaitu di dua kawasan Dun dan satu Parlimen telah menunjukkan kerja yang meyakinkan.

Kita tidak dengar sungutan rakyat terhadap khidmat mereka. Oleh itu kita harap Kelantan dapat menambah calon Muslimat berdasarkan prestasi mereka yang membanggakan.

Bagaimana negeri-negeri lain?

Bagi negeri Johor, saya diberitahu JPP Johor telah memperuntukkan dua kerusi kepada Muslimat tetapi mereka belum bersedia. Kalah menang bukan persoalan. Kita mahu muslimat berpengalaman menjadi calon dan daripada itu kita tahu tahap keupayaan kita.

Jika lebih ramai pemimpin Muslimat terdedah dengan aspek realiti pilihan raya, maka lebih cekaplah jentera pilihan raya itu. Jika tidak, jentera kita sukar ditingkatkan kecekapanannya.

Saya harap kali ini semua negeri boleh letak calon muslimat. Saya tegaskan calon yang pernah bertanding perlu bertanding semula. Tidak sepertimana calon tahun 2004 yang tidak dicalonkan semula pada tahun 2008. Muslimat sepatutnya perlu proaktif dan tidak segan untuk mempertahankannya.

Memandangkan empat negeri - sebelumnya lima - sudah ditawan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya, Mac 2008, apakah cukup sekadar dua calon Muslimat untuk setiap negeri dalam pilihan raya umum ke-13? (b)

Saya tidak mahu meminta atau menekan lebih banyak. Sampai hari ini, berdasarkan jawapan negeri-negeri, Muslimat masih tidak serahkan senarai calon. Mungkin sebahagiannya sudah ada calon tetapi mereka tidak mendapat sokongan kuat daripada Dewan Muslimat sendiri.

Bagi saya, jika sudah ada cadangan dan kita berasa mereka ada potensi, serahkan saja. Macam Kelantan, kita boleh minta tambah. Begitu juga di Kedah, kita minta satu lagi tempat untuk Parlimen. Bagi saya, Muslimat lebih sesuai bertanding di kawasan bandar yang mana pengundi lebih terbuka fikiran.

Dan sepatutnya calon Muslimat ini diterima oleh ahli dan petugas di kawasan tersebut. Kemudiannya, baru kita bercakap mengenai pengundi, sebab pengundi di Malaysia tidak ada masalah. Jika petugas dan kawasan tidak boleh terima calon Muslimat, gerak kerja akan menjadi susah.

Insya-Allah, sekiranya diuruskan dengan baik, dengan persefahaman yang mantap terutama di peringkat parti terlebih dahulu, pengundi dapat menyokong siapa jua calon kita.

Ada dakwaan bahawa calon muslimat sering diletakkan di kawasan yang tidak ada peluang menang berbanding calon muslimin. Benarkah dakwaan itu?

Dalam hal ini, saya tidak salahkan pimpinan sepenuhnya. Muslimat memainkan peranan juga. Sepatutnya Muslimat peringkat kawasan lebih serius dalam menegaskan kehendak agar pimpinan Muslimat bertanding di sesuatu tempat.

Saya pernah sebut, sebenarnya kita tidak boleh salahkan muslimin. Kita kena tengok dalam Muslimat itu sendiri. Misalnya, dalam perjuangan hak wanita secara umum, dulu pernah dikatakan, wanita itu sendiri yang menjadi penghalang.

Sebelum mengemukakan kertas kerja untuk meletakkan calon muslimat, iaitu semasa Dewan Muslimat di bawah era Ustazah Jamilah Ibrahim, saya membuat kaji selidik ke setiap negeri. Sekitar 50 peratus muslimat tidak setuju muslimat menjadi calon dalam pilihan raya.

Masa itu memang tidak ada calon lagi. Selepas muktamar, apabila kawasan Kota Bharu, Kelantan mahu meletakkan calon Muslimat, maka Dewan Muslimat kena buat kertas kerja. Saya dan Dr Asiah Ali pergi ke setiap negeri untuk mendapatkan sokongan daripada Muslimat negeri-negeri.

Apa halangannya?

Masa itu kalangan muslimat berfikir, siapa saja wakil rakyat kita, mereka boleh membawa apa jua isu, tak kira lelaki atau perempuan. Justeru, kita menjelaskan, macam mana ikhlas sekalipun wakil rakyat lelaki, mereka tidak boleh menyelesaikan masalah wanita daripada perspektif wanita.

Saya sebagai pimpinan Dewan Muslimat ketika itu mengatakan, kita perlu menyiapkan landasan walaupun kita belum meletakkan calon wanita. Jika tiba masanya nanti, kita sudah ada calon.

Selepas disepakati ulama, maka PAS menerima cadangan itu, dan saya fikir ahli PAS menerima calon Muslimat lebih disebabkan oleh tekanan masyarakat luar. Suatu ketika dulu, kita sering dituduh meminggirkan wanita walaupun Khadijah Sidek pernah menjadi wakil rakyat PAS. Kemudiannya, kita bermula dengan melantik muslimat sebagai senator.

Seingat saya, ketika itu ahli-ahli Muslimat sebahagian besar tidak bersedia untuk jadi calon. Kita terpaksa mengharungi cabaran pada tahun 2004, kali pertama calon muslimat diletakkan. Apa pun semua itu merupakan pengalaman berharga buat kita semua terutama dalam berdepan cabaran.

Pada tahun 2008, Muslimat sudah ada 10 calon, maka tidak timbul lagi dakwaan PAS meminggirkan wanita. Dan saya antara yang menang di Parlimen Kota Raja, Selangor.

Maknanya, muslimat sendiri harus memperjuangkan hak sendiri?

Kalau Muslimat tidak tegas dengan hak kita, maka kita tidak akan dapat. Saya dengan Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali memang bertubi-tubi bertegas mempertahankan hak Muslimat. Sehingga ada Muslimat di negeri dan kawasan tidak memahami apa yang kita buat di Pusat, sehingga ada yang melabelkan kami sebagai tidak walak.

Jika kita duduk di peringkat Pusat atau menjadi Ketua Muslimat Negeri, kita seharusnya dapat memainkan peranan yang efektif sebagai pimpinan terutama dari segi percambahan idea-idea baru.

Itu sebabnya saya mahu Muslimat terlibat dalam proses membuat keputusan. Sekarang, dalam mesyuarat Pusat, saya dan Dr Lo' Lo' selalu memberi mesej ini kepada pimpinan Muslimat Negeri. Muslimat penting diberi jawatan dan pendedahan.

Pernah saya mengatakan bahawa dalam Jawatankuasa Kawasan mesti ada Muslimat. Dalam Lajnah Politik, selain Ketua Muslimat mesti ada Muslimat lain. Muslimin jangan melihat Muslimat itu hanya sesuai diletakkan di tempat tertentu saja.

Apabila Muslimin nampak Muslimat berperanan dan menguntungkan, maka Muslimat akan dilantik. Lajnah Kebajikan PAS Pusat diserahkan kepada Dr Lo' Lo'. Jadi pesuruhjaya negeri-negeri mengambil sikap, disebabkan Dr Lo' Lo' wanita, maka Lajnah Kebajikan setiap negeri diserahkan kepada muslimat. Ini minda yang perlu diubah iaitu memberikan sesuatu jawatan mestilah di atas keupayaan seseorang, bukannya atas sebab mereka itu wanita atau lelaki.

Saya cuba mencari sebab kenapa muslimin tidak mengiktiraf calon muslimat. Ini kerana sikap muslimat yang tidak mahu menonjol walaupun berpotensi. Kajian saya, daripada sudut pemikiran, mungkin dulu muslimat hanya berperanan untuk membantu.

Kedua, dalam soal tarbiyah kita ada kelemahan dan kebaikan. Misalnya, kepada siapa yang minta jawatan, kita tidak boleh ambil dia.

Saya tidak mengatakan itu tidak betul tetapi kadang-kadang kita silap. Bukannya kita yang meminta jawatan tetapi jawatan itu perlu untuk kita buat kerja dan ia merupakan amanah.

Apa salahnya seseorang itu mengatakan insya-Allah kita terima, menunjukkan kita ada sedikit kemampuan, dan ini bukan menonjol diri. Ada juga muslimat yang berfikiran, kalau dia tidak boleh buat maka dia beranggapan orang lain pun tidak boleh buat sama. Maknanya, muslimat sendiri memandang rendah kebolehan muslimat.

Mungkin ada halangan lain ...

Atau ada yang merasakan, jika seseorang individu itu masih baru dalam PAS, maka dia tidak cukup tarbiyah. Alasan tidak cukup tarbiyah ini digunakan secara berleluasa. Saya antara orang yang alergik dengan perkataan ini.

Apa ciri-cirinya sehingga seseorang individu itu boleh dikatakan sudah cukup tarbiyah? Apakah ia perlu disahkan oleh Ketua Muslimat sebelum ia ditonjolkan? Jangan hanya kerana perbezaan pendapat maka seseorang itu dilabelkan sebagai tidak cukup tarbiyah dan cuba disingkirkan walaupun ia berpotensi sebagai pemimpin yang berwibawa.

Difahamkan ahli Wanita Umno sudah ada 1.3 juta. Kewujudan Dewan Muslimat melewati 50 tahun tetapi ahli rasanya Muslimat belum mencapai sasaran. Di mana silapnya?

Muslimat tidak agresif untuk mencari ahli di luar. Kita cenderung untuk mencari orang yang sama fikiran dengan kita. Jika kita tidak bersikap mesra rakyat maka sukar untuk kita mendapat ahli baru.

Usah buruk sangka kepada masyarakat. Jangan kita ingat kita lain daripada mereka dan mereka tidak respons dengan kita. Pengalaman saya sebagai wakil rakyat, apabila saya turun kawasan, dengan cara saya, ramai yang datang pada saya.

Sepatutnya selepas wakil rakyat turun, maka ahli yang lain mendekati masyarakat. Kita tidak mengambil kesempatan selepas wakil rakyat turun berjumpa masyarakat.

Saya berterima kasih kerana pihak kawasan sudah buat kerja yang terbaik untuk menangkan PAS. Untuk mengarahkan ahli-ahli supaya turun mendekati masyarakat, saya perlu mendapatkan kerjasama pimpinan kawasan, termasuk daripada Muslimat. Walaupun saya wakil rakyat, saya tidak boleh arah mereka. Saya cukup faham protokol, sebab kalau kita tidak faham protokol akan berlaku pergesaran dalam organisasi.

Saya rasa kita perlu memanfaatkan program wakil rakyat kita bagi menonjolkan perjuangan PAS secara lebih menyeluruh kepada rakyat. Ini peluang dan kesempatan yang tidak boleh dipersiakan.

Khususnya di Selangor, apakah Dr memikirkan calon muslimat perlu diberi lebih kerusi dan tempat yang lebih selamat?

Sebenarnya kita perlu menampilkan lebih ramai calon berwibawa. Jika ada calon yang sesuai, kita akan bawa ke depan. Kita buat senarai mengikut merit dan keupayaan. Mungkin ini agak susah untuk pimpinan buat keputusan, tetapi ia mengikut penilaian mereka.

Saya sendiri ada penilaian tertentu tetapi saya tidak bias. Jika ada calon berpotensi, kenapa perlu ditolak? Jika ada kerusi yang lebih untuk kita di Selangor, alhamdulillah. Kini Selangor merupakan antara negeri terkedepan dalam politik.

Tiada ulasan: