Jumaat, 12 Mac 2010

Usul tidak percaya terhadap lembaga disiplin Majlis Peguam

BERNAMA

Sekumpulan peguam kanan sekali lagi cuba mengemukakan usul tidak percaya terhadap lembaga disiplin Majlis Peguam pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan itu, Sabtu ini.

Usul tidak percaya itu adalah perkara utama dalam senarai lima usul pada mesyuarat tersebut yang pada lazimnya dihadiri kira-kira 800 daripada 13,000 ahli Majlis Peguam.

Ia adalah cubaan kedua sekumpulan peguam kanan yang tidak berpuas hati dengan lembaga itu kerana didakwa gagal menghukum firma guaman besar kerana kesalahan, sementara syarikat kecil dan yang baru dikenakan tindakan teruk. Seorang peguam kanan yang memulakan usul itu ketika dihubungi, mengesahkan bahawa kumpulan itu akan mengemukakan usul tersebut dan mereka berharap mereka akan berjaya pada kali ini.

Setiausaha Majlis Peguam, George Varughese mengesahkan bahawa lima usul itu akan dibentangkan dan salinan sudah dihantar kepada ahlinya.

Beliau berkata, usul kedua ialah menggesa Majlis Peguam membenarkan diskaun bagi yuran guaman ditentukan mengikut keadaan semasa. Kini, ahli tidak dibenarkan menawarkan diskaun seperti itu kepada anak guamannya.

Varughese berkata, usul ketiga ialah kemungkinan kerajaan akan membayar sedikit pampasan yang munasabah disebabkan “kesilapan” keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes tanah membabitkan Adorna Properties vs Boonson Boonyanit.

Usul keempat ialah menggesa Majlis Peguam memberikan taklimat kepada ahli berhubung status cadangan pihak kehakiman untuk menyelaraskan peraturan mahkamah tinggi dan mahkamah di bawahnya.

Sementara itu, usul terakhir, usul kelima yang akan dibentangkan sendiri oleh presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, mengenai cadangan Bank Negara Malaysia mengenai skim untuk meliputi pihak ketiga kecederaan badan, tuntutan kematian di mana bank pusat itu bercadang mengadakan harga siling RM100,000 berbanding dengan undang-undang yang ada sekarang yang membenarkan tuntutan perundangan sehingga RM1 juta.

Varughese berkata, Majlis Peguam mahu BNM berunding dengan semua pihak secara terus membabitkan industri berkenaan daripada melaksanakannya secara timbangtara.

Beliau berharap lebih ramai ahli hadir pada mesyuarat itu tahun ini.

“Kita ada lebih 9,000 ahli di Lembah Klang saja, kita harap mereka akan hadir untuk memberikan pandangan mengenai usul itu dan perkara berkaitan Majlis Peguam,” katanya.

Tiada ulasan: